HTAR siasat dakwaan dawai ditinggalkan dalam saluran darah pesakit

9 Dec 2023 • 7:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
HTAR Klang menyiasat dakwaan kecuaian hospital terbabit yang dikatakan meninggalkan dawai di dalam saluran darah ke jantung pesakit ketika mendapatkan rawatan di fasiliti itu.

SHAH ALAM - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menyiasat dakwaan kecuaian hospital terbabit yang dikatakan meninggalkan dawai di dalam saluran darah ke jantung pesakit ketika mendapatkan rawatan di fasiliti itu.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan tanpa mengabaikan hak-hak pelanggan.

"Hasil siasatan akan dimaklumkan kepada pesakit atau ahli keluarga bagi mengawal kerahsiaan maklumat.

"Pihak hospital tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapatkan rawatan di HTAR,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Terdahulu, tular catatan menerusi akaun Facebook seorang lelaki yang meluahkan rasa kecewa serta mendakwa pihak HTAR meninggalkan dawai sepanjang 22 sentimeter (Guidewire) di dalam saluran darah ke jantung seorang pesakit buah pinggang. - Bernama