Huawei MatePad 11.5 S 2026 dilancarkan hari ini sebagai tambahan baharu dalam siri MatePad di Malaysia. Seperti kebiasaan, ia mengekalkan pengalaman ala PC dengan sokongan WPS Office 3.0 serta beberapa aksesori tambahan yang disediakan termasuk M-Pencil Pro dan Smart Magnetic Keyboard.

Huawei MatePad 11.5 S 2026 hadir dengan skrin LCD bersaiz 11.5″ 2.8K yang menyokong kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak 500 nits. Skrin ini turut menawarkan nisbah ke badan 87% bersama nisbah kontras 1500:1. Dari segi memori, ia dilengkapi dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB serta menjalankan sistem operasi HarmonyOS 4.3. Namun, maklumat mengenai cip pemprosesan tidak dinyatakan walaupun melalui laman rasmi Huawei.

Dengan versi baharu Huawei Notes, pengguna boleh mengambil nota lebih mudah melalui ciri seperti AI Handwriting Enhancement dan Equation Recognition yang menukar input tulisan tangan kepada hasil yang lebih mudah dibaca. Aplikasi GoPaint pula disediakan untuk lakaran, WPS Office 3.0 menawarkan pengalaman ala PC untuk pengurusan dokumen manakala Wonder Share Filmora membolehkan proses suntingan video dilakukan terus pada peranti.

Selain itu, Huawei MatePad 11.5 S 2026 turut dilengkapi dengan kamera utama 13MP (f/1.8, AF) dan kamera swafoto 8MP. Ia disokong bateri berkapasiti8800 mAh kemudian hanya menawarkan sokongan rangkaian Wi-Fi.

Bagi yang berminat, MatePad 11.5 S 2026 dijual pada harga RM2,199 di Malaysia. Setiap pembelian turut disertakan hadiah eksklusif jualan pertama bernilai RM1,276 yang merangkumi M-Pencil Generasi ke-3 (RM399), tetikus bluetooth (RM149), WPS Office versi PC (RM299) serta jaminan APAC selama setahun (RM429).
