Hubungan baik bersama pemaju hartanah diunjur pacu keuntungan, pertambahan buku pesanan Inta Bina

Business & Finance
5 Apr 2024 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hubungan baik bersama pemaju hartanah diunjur pacu keuntungan, pertambahan buku pesanan Inta Bina

azan

05/04/2024 - 10:30

KUALA LUMPUR 5 April - Hubungan baik Inta Bina Group Bhd bersama pemaju hartanah serta fokus kepada pembangunan di Lembah Klang diunjur terus memacu keuntungan dan pertambahan buku pesanannya pada masa hadapan.

RHB Investment berkata, pertumbuhan itu disokong usaha mereka melibatkan diri dalam sektor pembangunan hartanah dan perniagaan eskalator.

Katanya, kumpulan itu memperoleh kontrak baharu bernilai RM453 juta pada FY23 daripada Eco World Development Group Bhd dan Mah Sing Group Bhd menjadikan buku pesanan tertunggaknya kepada RM1 bilion.

"Kami menyasarkan pesanan tambahan sebanyak RM600 juta bagi buku pesanannya untuk FY24 disokong buku tendernya sebanyak RM6.1 bilion.

"Sasaran ini adalah munasabah, memandangkan beberapa projek telah dilanjutkan kepada tahun ini selain mereka juga telah memasuki beberapa tender untuk kontrak reka bentuk dan binaan yang mungkin menghasilkan margin yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, lebih 90% daripada pendapatan Inta Bina diperoleh daripada projek di Lembah Klang membolehkan kumpulan itu memanfaatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor antara 6.5%-7% dari 2021-2025 di bawah Rancangan Selangor 1.

Katanya, peningkatan nilai transaksi hartanah kediaman di Selangor dan Kuala Lumpur mungkin menjadi faktor pertumbuhan untuk buku pesanannya, terutamanya dengan kadar faedah yang memuncak.

RHB Investment berkata, bahagian hartanah kumpulan, Angkasa Senuri, melancarkan projek pertamanya, Senuri Residence, pada 7 Oktober 2023 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM204 juta.

Projek itu terbukti berjaya dengan kadar pengambilan 80% yang mengagumkan sejak pelancaran awalnya dan usaha niaga itu memberi faedah sinergi apabila kumpulan itu terlibat dalam setiap peringkat proses pembangunan bagi menghasilkan margin yang lebih baik.

"Kumpulan itu juga telah memasuki pasaran lif di bawah jenama Canny Lift dan langkah ini bukan sahaja akan memanfaatkan peningkatan permintaan pembinaan tetapi juga menyediakan pendapatan berulang melalui perkhidmatan penyelenggaraan.

"Kami juga tidak menetapkan sebarang penarafan tetapi memberikan harga wajar (FV) 54 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com