Hubungan BERSATU-PAS: BERSATU Pandang Serius Kenyataan Abdul Hadi – Tun Faisal

LocalPolitics
22 May 2026 • 4:33 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Hubungan BERSATU-PAS: BERSATU Pandang Serius Kenyataan Abdul Hadi – Tun Faisal

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkaitan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti atas semangat setiakawan

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam satu kenyataan berkata, parti itu berpandangan bahawa setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memperkukuhkan perpaduan Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, BERSATU yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneliti setiap perkara yang dibangkitkan dan membincangkannya secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dalam masa terdekat.

PAS mahu nilai semua kerjasama bersama BERSATU

Sebelum ini media melaporkan PAS mahu menilai semula kerjasama dengan parti yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ekoran beberapa tindakan yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketetapan itu diambil susulan siri tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.

Ini termasuklah tindakan BERSATU memecat beberapa pemimpin negeri antaranya EXCO Kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Sebarang pemecatan ahli parti tidak boleh sesuka hati – Abdul Hadi

Tegas Abdul Hadi, sebarang pertukaran atau pemecatan mana-mana ahli tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Sebaliknya ia perlu berasaskan kepada alasan kukuh antaranya perbuatan ahli itu telah menjejaskan prestasi sesebuah parti.

PAS tidak tolak kemungkinan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada masa akan datang

Meskipun menafikan partinya itu mahu bergerak solo pada siri pilihan raya negeri (PRN) akan datang mahupun pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) namun Abdul Hadi menegaskan PAS tidak menolak kemungkinan untuk tidak lagi bekerjasama dengan BERSATU pada masa depan.

“Kita akan meneliti semua aspek sebab pilihan raya sudah dekat. Pada pilihan raya, ada untung, rugi dan sebagainya. Kalau menjejaskan pergerakan pilihan raya, kita bertindaklah mengikut yang sepatutnya.

“Kita tidak kecewa (dengan BERSATU) sebaliknya bersabar. Bagaimanapun, sabar itu ada batasnya,” katanya dipetik Berita Harian.