
BANGI: Penyanyi, Syafiq Farhain menganggap pertemuan semula dengan adik kandungnya, Amirul Mukminin, selepas hampir 12 tahun terpisah sebagai satu detik yang cukup bermakna dalam hidupnya.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M. Salim, 32, hubungan mereka kembali terjalin kira-kira dua hingga tiga bulan lalu selepas sekian lama tidak bertemu.
“Alhamdulillah, kami baru sahaja berjumpa semula dalam tempoh dua atau tiga bulan ini. Kali terakhir saya melihat dia ketika masih bersekolah, sekarang usianya sudah 23 tahun.
“Selepas bertemu semula, kami mula mengenali antara satu sama lain semula dan hubungan itu semakin rapat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pelancaran single baharu berjudul Cerita Luka di sini, hari ini.
Lagu itu mendapat sentuhan komposer, Ikhwan Fatanna dan diterbitka oleh MVM Productions Sdn Bhd.
Penyanyi lagu Sepi itu berkata, dia bersyukur apabila Amirul mengambil inisiatif untuk mencarinya kerana sebelum ini dia sendiri tidak mengetahui keberadaan adiknya.
“Bukan saya tidak mahu berjumpa dengannya, tetapi saya memang tidak tahu di mana dia berada. Saya juga tidak mahu bertindak terburu-buru kerana bimbang akan menimbulkan salah faham atau isu lain.
“Jadi saya serahkan kepada ketentuan Allah dan akhirnya kami dipertemukan juga,” katanya.
Syafiq memberitahu, pertemuan mereka berlaku hasil bantuan penyanyi Ameng Spring yang menjadi orang tengah selepas Amirul menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya.
“Amirul bertemu dengan Ameng Spring, manakala saya pula memang mengenali dan sering berjumpa dengannya. Ketika itulah Ameng menyampaikan hasrat adik saya untuk bertemu saya.
“Selepas memperoleh nombor telefonnya, kami terus berbual. Dia sempat meminta maaf atas perkara yang pernah berlaku, tetapi bagi saya dia langsung tidak bersalah kerana ketika itu dia masih kecil dan tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku,” ujarnya.
Mengulas mengenai perwatakan Amirul, Syafiq mengakui tanggapannya terhadap adiknya sebelum ini ternyata meleset.
“Saya sangka dia mungkin menyimpan perasaan tidak suka terhadap saya, tetapi sangkaan itu tidak benar. Dia seorang yang baik, sopan dan menghormati orang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Syafiq berkata hubungan mereka kini semakin baik apabila kerap berhubung meskipun masih ada sedikit rasa kekok selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.
“Kami selalu berhubung dan saya melayannya seperti adik sendiri. Cuma mungkin masih ada sedikit kekok kerana sudah terlalu lama tidak bersama.
“Saya memang biasa melayan adik-beradik seperti kawan, tetapi saya juga cuba memahami penerimaannya memandangkan kami melalui proses membesar dalam keadaan yang berbeza. Syukur, setakat ini semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
The post Hubungan dengan adik kembali bertaut, Ameng Spring jadi perantara – Syafiq Farhain appeared first on Utusan Malaysia.

