Hubungan Kuala Lumpur yang baik untuk selesaikan isu MA63, kata Hajiji

29 Sep 2022 • 3:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KERAJAAN Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) komited untuk meneruskan usaha menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan menggunakan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

“Kami percaya isu berkaitan hak dan kepentingan negeri, melalui hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini, akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat dalam semangat Keluarga Malaysia.

“Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 Sept lepas, saya ingin mengulangi bahawa Sabah akan terus menuntut 40 peratus daripada hasil bersih Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, seperti mana termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri 2022 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, pada 16 Sept.

Ketua Menteri berkata Sabah sudah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.

“Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, agar kita juga menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

“Sememangnya kita mahu melihat makna sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan melalui konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara,” kata Hajiji.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus melangkah ke hadapan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

Hajiji berkata agenda pembangunan negeri khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil.

Ini jelas, katanya, apabila Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion.

Data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi tempoh Januari hingga September 2022 meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

“Oleh itu, kita akan terus menjadi negeri yang mesra pelabur dan akan mengurangkan segala halangan untuk memudahkan pelaburan.

“Kerajaan akan mengekalkan momentum ini untuk memastikan Sabah terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan,” kata Hajiji.

Menurutnya, untuk terus memacu Sabah, Kerajaan Negeri yang diperkasakan melalui muafakat GRS-BN melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ pada 29 Mac tahun lalu dan diperhalusi dan diperkukuhkan lagi melalui Majlis Retrospektif Aspirasi yang diadakan pada 29 Mac tahun ini untuk menilai prestasi dan mengukuhkan aspirasi.

Beliau berkata Hala Tuju SMJ membabitkan tiga teras utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui tiga sektor tumpuan utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; dan Rangkaian Infrastruktur dan Kelestarian Hijau yang menekankan kualiti dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada akses rangkaian infrastruktur dan kelestarian hijau.

Pelan ini, katanya, merentasi semua lapisan masyarakat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan dan kemajuan ke negeri ini.

“Kita akan terus berusaha untuk merapatkan jurang dengan keyakinan bahawa usaha yang diambil pasti membuahkan hasil.

“Kerajaan Persekutuan telah menerima semua keperluan Sabah melalui komitmennya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk meningkatkan lagi pembangunan Sabah,” katanya.

Menurut Hajiji, walaupun sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini diadakan di Melaka, Sabah tidak terkecuali meraikan sambutan ini secara ringkas tetapi meriah sebagai masyarakat majmuk dan sejahtera.

Beliau berkata 16 Sept adalah tarikh yang sangat bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia memperingati penubuhan Persekutuan yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta menghayati semangat kemerdekaan yang dikecapi hari ini hasil semangat pejuang yang tidak pernah putus asas.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.