Hubungan Malaysia-China berteraskan kepercayaan, hormat, kepentingan bersama

21 Feb 2026 • 2:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Presiden Dewan Perniagaan Sabah–China (SCCC) Datuk Frankie Liew menegaskan dewan itu akan terus berperanan sebagai platform konstruktif dan jambatan berkesan bagi kerjasama ekonomi serta perdagangan antara Sabah, Malaysia dan China sepanjang Tahun Kuda.

Beliau berkata hubungan sekian lama antara Malaysia dan China berasaskan kepercayaan bersama, saling menghormati serta kepentingan ekonomi yang dikongsi.

Dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2026, Frankie berkata kerjasama itu terus berkembang merentasi sektor perdagangan, pelaburan, infrastruktur, kewangan dan teknologi, sekali gus menjana manfaat ketara kepada kedua-dua negara dalam landskap global yang pesat berubah.

Katanya, dewan itu akan menyokong secara aktif pertukaran perniagaan, pemudahcaraan pelaburan, promosi perdagangan serta penyertaan dalam pameran dan forum antarabangsa bagi memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan perusahaan tempatan.

“Dewan berharap dapat meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah serta agensi dan persatuan perniagaan berkaitan.

Melalui kerjasama rapat, kami berhasrat menyokong dasar dan inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing keseluruhan ekosistem perniagaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia dan China sekian lama menjalin hubungan persahabatan dan kerjasama membina, dengan perkongsian itu menyumbang secara positif kepada kestabilan serantau, kemakmuran ekonomi dan hubungan antara rakyat.

Dalam tradisi Cina, Kuda melambangkan ketekunan, kemajuan, daya tahan dan kejayaan — nilai yang mendorong tindakan berpandangan jauh serta ketabahan dalam mencapai matlamat bersama.

Frankie turut menyatakan bahawa meskipun berdepan cabaran ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan perubahan perdagangan, Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan menerusi tadbir urus yang baik, dasar luar seimbang serta usaha penaiktarafan industri, transformasi digital dan pembaharuan struktur.

Prestasi stabil ringgit, katanya, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi dan dasar negara.

Di peringkat serantau, kerjasama ekonomi China-Asean semakin mendalam, dengan peningkatan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan yang membantu meningkatkan kestabilan kewangan dan mengurangkan risiko luaran.

Seiring pembukaan pasaran kewangan China yang lebih meluas dan pengantarabangsaan (matawang) Renminbi, aliran modal lebih besar ke Asia dijangka berlaku, dan Sabah berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang itu melalui lokasi strategik, sumber yang kaya serta persekitaran mesra pelabur.

Bagi pihak SCCC, Frankie menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia, komuniti perniagaan, warga keturunan Cina serta penyokong dewan itu, dengan harapan semua dikurniakan kesihatan, keharmonian, keamanan dan kemakmuran.

Beliau turut mendoakan kestabilan dan kemajuan berterusan negara, dengan perniagaan dan komuniti berkembang bersama pada tahun mendatang.