
Kota Kinabalu: Hubungan antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya Noraidah Lamat disifatkan baik berdasarkan keterangan saksi pada prosiding inkues kematian remaja itu di Mahkamah Koroner pada Rabu.
Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-25 yang juga rakan sekelas dan tinggal di dorm sama dengan Zara Qairina pada hari ke-30 prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina berkata saksi berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia pernah bermalam di rumah Zara di Sipitang selama dua malam dan mendapati hubungan antara ibu dan anak itu adalah baik.
“Antara aktiviti semasa bermalam di rumah Zara adalah membuat kerja rumah dan mama Zara bawa saksi dan Zara jalan-jalan ke pekan Sipitang.
“Saksi berkata semasa dia di rumah Zara dia nampak hubungan Zara dan ibunya adalah baik. Saksi mengesahkan mama Zara pernah mencuci dan menyeterika pakaian saksi,” kata Shahlan ketika berkongsi kenyataan saksi kepada pemberita selepas prosiding.
Menurut Shahlan saksi turut menyatakan pernah melihat Zara menulis di dalam sebuah diari berkulit hijau gelap antaranya tentang impian Zara mahu menjadi Badar (pengawas surau) kerana ingin jadi seperti idolanya seorang pelajar senior.
Beliau berkata saksi turut menggambarkan Zara sebagai seorang yang ceria dan periang serta tidak pernah menunjukkan tanda-tanda tekanan atau menjadi mangsa buli di sekolah.
Sementara itu peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata saksi turut memberitahu kehilamgan wangnya pada 14 Julai lepas sebelum wang itu ditemui dalam loker milik Zara.
“Dia mengenal pasti wang itu mempunyai sedikit dakwat hitam pada salah satu wang kertas RM10 dan difahamkan pada malam 15 Julai apabila mereka memeriksa loker Zara wang itu ditemui di dalam loker Zara,” katanya.
Prosiding inkues pada Rabu turut mendengar keterangan dua lagi saksi kanak-kanak iaitu saksi ke-24 dan ke-26.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung Khamis.

