
GEORGE TOWN : Hujan lebat yang turun di kebanyakan tempat sejak awal pagi tadi sedikit sebanyak membantu mengubah kualiti udara di Pulau Pinang ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pusat bandar George Town mendapati, kawasan penempatan, bangunan termasuk mercu tanda serta lokasi berbukit kelihatan lebih jelas berbanding semalam.
Pada masa yang sama, jarak penglihatan juga adalah lebih baik dan tidak diganggu oleh masalah jerebu sehingga menyakitkan pandangan.
Sementara itu, keempat-empat stesen pemantauan kualiti udara di negeri ini menunjukkan bacaan pada kategori sederhana berbanding tidak sihat, semalam.
Sehingga pukul 11 pagi ini, Stesen Balik Pulau merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada kadar terendah iaitu 63, diikuti oleh Stesen Seberang Perai (80), Stesen Seberang Jaya (82) dan Stesen Minden dengan 89.-UTUSAN
The post Hujan awal pagi bantu ubah kualiti udara di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.






