Hujan lebat diramal meningkat bulan depan, berisiko banjir

14 Sep 2022 • 4:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kebanyakan kawasan di Selangor dijangka menerima taburan hujan sekitar 170 hingga 250mm sepanjang bulan ini susulan Monsun Barat Daya sejak 14 Mei.

Sepanjang tempoh berkenaan, kejadian hujan lebat dan ribut petir dijangka berkurangan dengan hanya berlaku pada awal pagi terutama di kawasan pesisir perairan Selat Melaka.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim menerusi surat arahan persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut kepada agensi berkaitan hari ini.

image is not available
Jadual ramalan purata taburan hujan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia

Menerusi surat sama, taburan hujan di Selangor diramal meningkat mulai Oktober sekitar 220 hingga 330mm, November (230-370mm) dan Disember (210-310mm) susulan peralihan Monsun Timur Laut mulai November hingga Mac tahun depan.

Sepanjang tempoh ini, lazimnya Selangor akan mengalami hujan sederhana dan kadangkala lebat beserta ribut petir yang menyeluruh ketika petang dan berterusan pada waktu malam.

Berdasarkan perkembangan itu, beberapa kawasan di Selangor berisiko banjir, banjir kilat, ribut dan kejadian tanah runtuh.

image is not available
Peta taburan hujan sepanjang Ogos hingga Disember daripada Jabatan Meteorologi Malaysia