
SEORANG Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) tular selepas tampil menghulurkan bantuan kepada orang awam apabila kenderaan dinaiki mamgsa dilaporkan terjatuh ke gaung.
Dalam kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang itu, tindakan pantas PPK bernama Haslinda Mansor yang ketika itu berada di kawasan berisiko berhampiran longkang besar menarik perhatian ramai.
Tidak gentar berdepan situasi cemas, keberanian dan pengorbanan frontliner itu nyata menyentuh hati orang ramai.
Ketika dihubungi SinarPlus, Haslinda Mansor yang bertugas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru mendedahkan dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah semasa kejadian.
"Alhamdulillah saya dapat juga berbicara dengan mangsa. Dia tidak cedera, cuma terhantuk sedikit.

"Mangsa tidak dapat keluar keluar kerana keadaan kenderaan mangsa tersangkut pada dahan pokok.
"Pintunya pun tidak boleh dibuka. Di bahagian bawah kereta itu ada longkang, saya dapat dengar jelas bunyi arus air yang kuat.
"Ketika itu hujan, saya tidak dapat bergerak mendekati mangsa. Yang saya pijak itu cuma lalang dan dahan-dahan yang dilanggarnya," kongsi Haslinda.
Ditanya dari mana datangnya keberanian, Haslinda berkata nalurinya telah terbiasa untuk membantu, biarpun di luar waktu bertugas.
"Sudah tugas saya. Kalau orang lain pun akan buat perkara yang sama. Saya pastikan mangsa okay. Hujan makin lebat, jadi saya tidak boleh tunggu.
"Saya sempat berpesan kepada individu yang ada di situ agar menunggu mangsa sehingga bomba atau ambulans sampai," katanya.
Video yang memaparkan usaha wanita tersebut membantu mangsa itu dimuat naik olehnya di TikTok dan tular sehingga meraih 2 juta tontonan dalam tempoh 24 jam!

Rata-rata memuji keberanian Haslinda dan berharap dia diberikan imbuhan, kenaikan pangkat atau anugerah cemerlang.
"Tolong naikkan pangkat dan gaji akak frontliner ini. Keberanian dan semangatnya patut dipuji serta dicontohi."
"Dia seorang petugas kesihatan. Dia bukan sahaja berani, tetapi dia menjalankan amanah. Terbaik!"
"Kakak ini seorang frontliner. Dia mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi, sebab itu dia sanggup meredah apa jua demi membantu. Orang seperti inilah yang patut kita puji, sanjung dan jadikan contoh. Semoga semangat yang ditunjukkan akan menjadi ikutan buat rakyat Malaysia. Tahniah, kak!"
"Hebatnya seorang wanita, seorang PPK yang prihatin. Dia tidak menghiraukan bahaya diri sendiri, tetap juga pergi melihat keadaan mangsa. Salute sangat pada awak, sis. Semoga perjalanan hidup sis sentiasa dalam lindungan ALLAH. "
