Hujan Lebat Lebih Sejam, Shah Alam Dilanda Banjir Kilat 

15 Nov 2026 • 7:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Hujan Lebat Lebih Sejam, Shah Alam Dilanda Banjir Kilat 

SHAH ALAM - Hujan lebat yang berterusan lebih sejam petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan sekitar i-City dan Seksyen 7 di sini dilanda banjir kilat, sekali gus menjejaskan kelancaran trafik apabila beberapa laluan dinaiki air.

Kejadian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila beberapa rakaman dan gambar keadaan banjir mula dikongsikan menerusi platform Threads.

Difahamkan, hujan lebat yang bermula kira-kira jam 1 tengah hari menyebabkan air mula bertakung sebelum melimpah ke beberapa laluan di kawasan terbabit 

Seorang pengguna Threads, frhn.jefx, memuat naik video memaparkan keadaan jalan berhampiran i-City yang ditenggelami air sehingga memaksa beberapa kenderaan, khususnya motosikal, berhenti dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

Seorang lagi pengguna, jacketpotato.sa, turut berkongsi perkembangan keadaan di laluan sama, termasuk rakaman beberapa kereta yang cuba meredah air banjir.

Sementara itu, pengguna charlie.kilo.maggi memuat naik video kejadian banjir kilat kira-kira jam 2.46 petang, dipercayai di laluan keluar dari i-City.

Menerusi perkongsian itu, pengguna berkenaan memaklumkan terpaksa menggunakan laluan alternatif di belakang kilang Pharmaniaga untuk keluar dari kawasan terbabit, selain berharap orang ramai sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi pengguna Threads, sashidd, berkongsi rakaman kawasan parkir kenderaan di Seksyen 7 yang turut dinaiki air.

Pengguna itu turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan risiko terkandas akibat banjir. - Getaran, 15 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved