Hujan Lebat Tenggelamkan Ratusan Khemah Rakyat Palestin Di Gaza

16 Dec 2025 • 2:18 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Hujan Lebat Tenggelamkan Ratusan Khemah Rakyat Palestin Di Gaza

Hujan lebat telah menenggelamkan ratusan khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza pada Isnin.

Menurut sumber Palestin seperti dilapor Anadolu Ajansi (AA). insiden tersebut juga menyebabkan beberapa orang mengalami kecederaan.

Seorang wanita dilaporkan cedera sederhana selepas dinding sebuah rumah runtuh dan menghempap khemah yang didiaminya di bahagian barat Bandar Gaza, menurut sumber perubatan.

Di sisi lain, saksi memaklumkan bahawa ratusan khemah yang menempatkan keluarga pelarian di kawasan Chalet, barat Bandar Gaza, dinaiki air susulan kehadiran sistem tekanan rendah baharu.

Angin kencang turut menyebabkan kerosakan meluas apabila puluhan khemah rosak dan ada yang diterbangkan angin, ketika penduduk berusaha menyelamatkan diri serta barangan mereka daripada banjir.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas ribut teruk melanda Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin.

Selain itu, ribut berkenaan turut menyebabkan kerugian awal dianggarkan sekitar AS$4 juta, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Ketua Kesatuan Perbandaran Gaza, Yahya al-Sarraj, memberi amaran mengenai kesan serius akibat sistem tekanan rendah terbaharu itu.

Beliau berkata, kekurangan bahan api yang kritikal telah memburukkan keadaan di Gaza serta menghalang operasi jentera dan stesen pam, khususnya ketika cuaca buruk.

Beliau turut memberi amaran mengenai risiko runtuhan bangunan kediaman yang telah rosak dan kini dijadikan tempat perlindungan oleh penduduk yang dipindahkan. Keadaan ini sekali gus mengancam nyawa orang awam.

Menurut Pejabat Media Gaza, sebanyak 13 bangunan yang sebelum ini rosak akibat serangan telah runtuh semasa ribut terakhir.

Sehubungan itu, al-Sarraj merayu agar bantuan kecemasan disalurkan segera. Ini termasuk pakaian musim sejuk, selimut, tilam dan kaedah pemanasan yang selamat bagi mengurangkan penderitaan penduduk dalam keadaan cuaca yang ekstrem.

Sumber: Anadolu Ajansı

The post Hujan Lebat Tenggelamkan Ratusan Khemah Rakyat Palestin Di Gaza appeared first on Siakap Keli.