.jpg)
Kota Kinabalu: Penggemar aktiviti cerapan langit di Sabah menyaksikan sehingga 30 meteor sejam apabila hujan meteor Southern Delta Aquariids dan Alpha Capricornids mencapai kemuncaknya pada malam 30 hingga 31 Julai.
Fenomena itu paling jelas disaksikan selepas tengah malam hingga kira-kira 5 pagi hari ini (Jumaat), terutama di kawasan gelap yang jauh daripada pencemaran cahaya bandar.
Pemerhati dijangka dapat melihat gabungan meteor Southern Delta Aquariids yang lebih malap dan bergerak pantas, selain bebola api terang daripada Alpha Capricornids. Mereka juga berpeluang melihat kemunculan awal hujan meteor tahunan Perseids.
Menurut kalendar astronomi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), hujan meteor Southern Delta Aquariids aktif dari 18 Julai hingga 21 Ogos, dengan kemuncaknya pada malam 30 hingga 31 Julai.
Agensi itu berkata, hujan meteor berkenaan menghasilkan sekitar 15 hingga 20 meteor sejam dalam keadaan cerapan yang ideal.
Bagaimanapun, MYSA memaklumkan cahaya bulan dijangka menjejaskan penglihatan, sekali gus mengurangkan bilangan meteor yang lebih malap yang dapat dilihat dengan mata kasar.
Sementara itu, pengendali pelancongan pengembaraan Mountain Torq menggalakkan pendaki Gunung Kinabalu supaya memerhatikan langit ketika melakukan pendakian ke puncak.
Menerusi hantaran di media sosial, syarikat itu memaklumkan fenomena hujan meteor berganda itu berpotensi menghasilkan sehingga 30 meteor sejam, termasuk meteor yang bergerak pantas, bebola api bercahaya serta kemunculan awal meteor daripada hujan meteor Perseids.
“Jika anda berada di Gunung Kinabalu, pandanglah ke langit ketika menuju ke puncak. Anda mungkin berpeluang melihat meteor melintasi langit ketika mendaki di bawah sinaran bintang,” menurut hantaran itu.
Mountain Torq berkata, waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena berkenaan ialah selepas tengah malam pada 30 hingga 31 Julai, sambil menambah keadaan langit yang lebih gelap akan meningkatkan tahap penglihatan.
Antara lokasi yang disyorkan di Sabah ialah kawasan tanah tinggi Kundasang, kawasan pesisir Kudat serta lokasi lapang di sekitar Gunung Kinabalu.
Penggemar astronomi turut dinasihatkan memberi masa sekitar 20 hingga 30 minit untuk mata menyesuaikan diri dengan keadaan gelap dan mengelakkan melihat cahaya terang atau skrin telefon bimbit ketika melakukan cerapan.
Fenomena hujan meteor itu tidak memerlukan penggunaan teleskop atau binokular kerana ia paling sesuai disaksikan dengan mata kasar dalam keadaan langit yang cerah.
