Hujan Rahmat Akhirnya Turun Selepas 100 Hari Kemarau

LocalEnvironment
30 Mar 2026 • 12:40 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KANGAR – Selepas lebih 100 hari berdepan cuaca panas dan kemarau, bumi Perlis akhirnya menerima hujan yang dinanti-nantikan apabila beberapa kawasan dilaporkan dibasahi hujan petang tadi.

Antara lokasi terlibat termasuk sekitar Santuari Ikan Air Tawar Tasik Timah Tasoh, Beseri, Bukit Jernih, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kubang Tiga, Bukit Chabang dan Semadong.

Hujan tersebut disifatkan sebagai “rahmat” oleh penduduk setempat, lebih-lebih lagi selepas penganjuran Solat Sunat Istisqa (solat memohon hujan) yang berlangsung pada 26 Mac lalu.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama lebih 1,000 jemaah.

Empangan Timah Tasoh Cetus Kebimbangan

Sebelum ini, media melaporkan keadaan cuaca panas melampau serta penyusutan paras air di Empangan Timah Tasoh yang menimbulkan kebimbangan, khususnya terhadap kelangsungan hidup ribuan ikan air tawar di sangkar santuari empangan tersebut.

Perkembangan terbaharu ini dilihat sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk dan pengusaha setempat selepas tempoh kemarau yang berpanjangan.

Bagaimanapun, situasi panas di negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dilaporkan masih berada pada tahap membimbangkan dengan suhu harian kekal tinggi serta taburan hujan yang tidak sekata. Keadaan ini menyebabkan paras air empangan dan sumber bekalan air masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus memerlukan pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa serta langkah berjimat cermat dalam penggunaan air oleh orang ramai. – The Malaysian Update

The post Hujan Rahmat Akhirnya Turun Selepas 100 Hari Kemarau appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article