
Hukuman Gantung 12 Bulan Tujuh Pemain Warisan Kekal
Lausanne - Panel Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengumumkan keputusan rayuan melibatkan tujuh orang pemain warisan skuad kebangsaan yang mengekalkan hukuman gantung selama 12 bulan.
Bagaimanapun, hukuman berkenaan hanya melibatkan perlawanan rasmi dan tidak kepada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, rayuan gabungan yang difailkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditolak.
Susulan itu, keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengenakan denda sebanyak CHF350,000 terhadap FAM kekal.
Kronologi
Menurut CAS, FAM telah menghubungi tujuh pemain, iaitu Facundo Tomás Garcés Rattaro, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pada 2025.
Pemain-pemain tersebut dimaklumkan bahawa mereka berkemungkinan boleh memohon kewarganegaraan Malaysia secara sah dan beraksi untuk pasukan kebangsaan di bawah FAM.
Kesemua pemain kemudiannya menjalani proses naturalisasi dan diberikan pasport Malaysia.
Jawatankuasa Disiplin FIFA kemudiannya memutuskan bahawa FAM dan pemain berkenaan telah melanggar Kod Disiplin FIFA (FDC) pada 25 September 2025 berikutan penggunaan dokumen palsu dalam proses naturalisasi dan kelayakan.
Keputusan tersebut dikekalkan pada 3 November 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Selain denda CHF350,000 terhadap FAM, setiap pemain turut dikenakan denda CHF2,000 serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
FAM dan para pemain kemudian memfailkan rayuan gabungan kepada CAS pada 5 Disember 2025.
Menerusi rayuan berkenaan, FAM mengakui wujud ‘kelemahan institusi’ dan tidak mempertikaikan kemungkinan pihaknya bertanggungjawab melanggar FDC.
FAM turut memaklumkan bahawa pemain hanya mempunyai peranan yang terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta oleh persatuan itu.
Menurut FAM, pemain tidak menyediakan mahupun mengubah dokumen berkenaan.
Berita lanjut menyusul.


