
Hukuman Ke Atas Empat Suspek Kes Tembak MH17 Dijangka Diumum 17 November Ini
Hukuman terhadap empat orang suspek kes tembak pesawat penumpang milik Malaysia Airlines, MH17 akan diketahui tidak lama lagi selepas hakim di Mahkamah Belanda dijangka akan membuat keputusan pada 17 November ini, lapor AFP.
Tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine, yang kesemua masih bebas, dituduh membekalkan peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, yang mengorbankan kesemua 298 orang penumpang dan kru.
Perbicaraan tersebut bermula pada 20 Mac 2020 dan berlangsung di Mahkamah Tinggi yang diberikan kawalan keselamatan yang ketat dan terletak berhampiran Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam, di mana pesawat Boeing 777 itu berlepas sewaktu hari kejadian. Pendakwa raya telah menuntut hukuman penjara seumur hidup.
“17 November telah dipilih sebagai tarikh ketetapan sementara dalam perbicaraan jenayah MH17,” kata mahkamah dalam satu kenyataan. Keputusan itu akan dibuat menjelang petang pada 17 November nanti.
Pendakwa raya berkata pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia, yang ditembak dari wilayah di Timur Ukraine yang diduduki oleh pemisah pro-Moscow.
Perbicaraan itu diadakan di Belanda, selepas siasatan skala besar diperingkat antarabangsa, kerana kebanyakan mangsa adalah warga Belanda.
Tetapi kes itu telah menjadi lebih penting selepas pencerobohan Rusia pada 24 Februari di Ukraine di mana banyak penjenayah perang baru didakwa.
Disember lepas, pendakwa raya menggesa hukuman penjara seumur hidup bagi keempat-empat lelaki yang dibicarakan itu iaitu suspek warga Rusia Igor Girkin, Sergei Dubinskyt dan Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.
Pulatov adalah satu-satunya suspek yang diwakili pasukan peguam dan keempat-empat mereka enggan hadir di mahkamah, sambil menegaskan mereka tidak bersalah. Pendakwan raya berhujah bahawa keempat-empat mereka memainkan peranan penting dalam mendapatkan sistem misil BUK itu, yang kemungkinan besar bertujuan untuk menembak jatuh pesawat milik Ukraine.
Girkin yang juga dikenali dengan nama samarannya “Strelkov”, iaitu suspek paling berprofil tinggi merupakan bekas perisik Rusia yang dipercayai ‘membantu’ memulakan konflik di Ukraine pada 2014, antara individu yang lantang bersuara tentang perang terkini.
Penyiasat antarabangsa berkata peluru berpandu BUK pada asalnya dibawa dari pangkalan tentera Rusia, kononnya untuk digunakan dalam peperangan menentang Ukraine.
Manakala peguam yang mewakili Pulatov pula berkata, pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti bahawa BUK yang dibekalkan Rusia telah digunakan untuk menembak pesawat itu dan mendakwa terdapat jurang dalam pendakwaan tersebut.
Mereka juga berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan teorinya berdasarkan perbualan telefon yang diintip, imej dan kenyataan saksi bahawa ia sememangnya peluru berpandu itu yang menyebabkan MH17 terhempas. Justeru, meminta hakim membebaskan anak guam mereka.
Sumber: AFP
The post Hukuman Ke Atas Empat Suspek Kes Tembak MH17 Dijangka Diumum 17 November Ini appeared first on Siakap Keli.

