Hukuman penjara pengasas Gojek dikurang kepada 9 tahun

WorldPolitics
24 Sep 2026 • 4:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hukuman penjara pengasas Gojek dikurang kepada 9 tahun

JAKARTA: Mahkamah Tinggi Jakarta mengurangkan hukuman penjara pengasas Gojek dan bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim, daripada 10 kepada sembilan tahun berhubung kes rasuah membabitkan perolehan komputer riba untuk sekolah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menolak rayuan Nadiem untuk mengetepikan semua pertuduhan, namun mengurangkan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

Hakim, Catur Iriantoro, berkata keputusan mahkamah sebelum ini selaras dengan fakta yang dibuktikan sepanjang perbicaraan, bukti dikemukakan serta keterangan saksi.

Nadiem sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Jun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dalam proses perolehan komputer riba Google Chromebook untuk sekolah di Indonesia.

Kes berkenaan menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak AS$125 juta (RM527 juta).

Nadiem mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan pada 1 Julai lalu kepada Mahkamah Tinggi Jakarta.

Mahkamah turut mengurangkan jumlah bayaran ganti rugi yang perlu dibayar Nadiem daripada 809 bilion rupiah (RM204.8 juta) kepada 548 bilion rupiah (RM138.6 juta), kata seorang lagi hakim, Subachran Hardi Mulyana.

Selepas prosiding, Nadiem meluahkan kekecewaan terhadap keputusan berkenaan dan memberitahu pemberita beliau akan mengemukakan satu lagi rayuan kepada Mahkamah Agung Indonesia.

“Bukan saya sahaja yang menjadi mangsa sekarang, tetapi juga kredibiliti sistem penguatkuasaan undang-undang di Indonesia,” katanya.

Hakim turut mengekalkan keputusan terdahulu yang mendapati Makarim mengubah syarat tender bagi memihak kepada Chromebook, sekali gus memberi manfaat kepada Google dan mengehadkan persaingan.- AGENSI

The post Hukuman penjara pengasas Gojek dikurang kepada 9 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved