'Hukuman terhadap Rosmah beri kesedaran kesalahan rasuah'

LocalPolitics
1 Sep 2022 • 8:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gopal Sri Ram ketika sidang akhbar di di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Keputusan mahkamah memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap tiga tuduhan rasuah dan denda RM970 juta beri mesej jelas supaya individu lain tidak melakukan jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya juga sudah menjalankan tugas terbaik bagi memenuhi aspirasi mahkamah membabitkan perbicaraan kes rasuah Rosmah.

“Korupsi adalah satu perkara yang jahat. Saya berasa orang awam sedar ia adalah jahat dan kami berkhidmat untuk mereka.

“Sistem kehakiman dan pendakwaan menerima bahagian keadilan mereka. Keadilan bukan sahaja untuk tertuduh tetapi ia untuk semua,” katanya ketika sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Sri Ram berkata, sebagai bekas hakim, beliau mengetahui bahawa hukuman terhadap Rosmah oleh Mohamed Zaini bukan satu perkara mudah.

Beliau berkata, hakim perlu adil dalam membuat keputusan dan merasakan hukuman penjara 10 tahun itu mencukupi.

“Kita tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan hingga Jabatan Peguam Negara (AGC) berasa sebaliknya.

“Tiada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat yang mempunyai kepentingan peribadi dalam kes ini. Kami diberi tugas dan kami melakukannya.

"Kredit yang besar untuk pendakwaan kes ini juga harus diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.