
Kalau korang penggemar aktiviti ekstrem dan nak merasai percutian yang tak hanya duduk di dalam bilik -- Hulu Selangor adalah destinasi yang tepat untuk korang bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.
Ini kerana Hulu Selangor yang terletak hanya sekitar sejam pemanduan dari Kuala Lumpur tetapi kaya dengan bentuk muka bumi berbukit-bukau, hutan simpan kekal dan mempunyai empangan serta sungai bagi melakukan pelbagai aktiviti ekstrem seperti paragliding, white-water rafting, river tubing, sky trex dan bermacam lagi.
Baru-baru ini, Rileklah telah menyertai 'Fam Trip Hulu Selangor' bersama Gaya Travel Media, Akses Malaysia serta Pertubuhan Media Malaysia selama 4 hari 3 malam dan apa yang dapat min simpulkan percutian tersebut sememangnya sangat menyeronokkan, di samping menguji adrenalin min melakukan pelbagai aktiviti ekstrem yang bakal menjadi kenangan paling manis seumur hidup.

Jom min kongsikan itinerari lengkap merangkumi senarai aktiviti ekstrem yang boleh dilakukan, tempat penginapan menarik untuk korang bermalam, port makan yang best serta tarikan pelancongan ikonik yang ada di Hulu Selangor.
A) SENARAI AKTIVITI EKSTREM
1. PARAGLIDING KKB
Kalau sebut saja tentang Hulu Selangor atau lebih tepat di salah sebuah bandarnya yang dipanggil Kuala Kubu Bharu atau singkatannya KKB -- pasti ramai yang mengetahui bahawa ia merupakan lokasi popular untuk korang melakukan aktiviti ekstrem iaitu 'Paragliding' atau luncur udara, salah satu jenis sukan menggunakan payung terjun!
Jika korang memilih untuk Paragliding di KKB, ia sebenarnya diuruskan oleh KKB Paragliding Park, Operate by CLOUD BASS.
Selain di KKB, Paragliding juga sebenarnya boleh korang lakukan di Jugra daerah Kuala Langat, Selangor.

Tetapi ramai orang kata mereka lebih suka melakukan sukan luncur udara ini di KKB kerana di sini korang akan terbang dengan 'tandem' -- maksudnya adalah korang akan berada di depan manakala instruktor/pilot mengawal payung terjun di belakang.
Malah, untuk terbang sepanjang tahun, KKB adalah lokasi yang lebih disarankan memandangkan lokasinya yang lebih tinggi iaitu 426 meter berbanding Jugra hanya 122 meter.
Secara amnya, semua bergantung juga kepada keadaan cuaca dan angin kuat jika korang ingin terbang lama di udara. Kalau semuanya cantik korang berpeluang terbang di udara sekitar 10 minit tau!
Bagi merasai pengalaman terbang di KKB, korang disarankan untuk buat tempahan secara online, datang awal ke lokasi kerana dari tempat parking di Taman Millenium korang akan menunggu giliran untuk dibawa menaiki kenderaan 4WD ke atas Bukit Batu Pahat sebelum memulakan aktiviti ekstrem tersebut.

Setibanya di puncak Bukit Batu Pahat, jika belum tiba giliran korang untuk terbang -- korang boleh juga bergambar cantik dan menikmati pemandangan indah kawasan Hulu Selangor serta kalau ada rezeki cuaca cantik silap-silap korang boleh nampak Genting Highlands dari situ.
Bila dah tiba giliran, korang akan diberikan sedikit penerangan ringkas daripada pilot masing-masing serta dipakaikan dengan alat kelengkapan -- sebelum korang disuruh berlari laju dari tebing tinggi untuk mulakan penerbangan.

Meskipun pada mulanya berasa takut dan gementar, apabila min mula saja terbang dan enjoy pemandangan yang cukup luar biasa dari atas udara -- semua perasaan tersebut hilang dibawa angin.
Lebih menyeronokkan apabila min dan pilot juga dapat 'rezeki terpijak' ternampak ada seekor burung helang besar dan berpeluang terbang bersamanya. Masa itu min benar-benar gembira dan rasa seakan seperti seekor burung yang terbang bebas. Hilang segala stress dan ketakutan yang min rasa sebelum ini!
Satu tips yang min nak kongsi ialah, sebelum melakukan Paragliding pastikan telefon pintar korang mempunyai memori atau ruang simpanan yang banyak untuk korang transfer video Go Pro yang akan dibekalkan oleh pihak KKB Paragliding Park, Operate by CLOUD BASS selepas korang selamat landing di kawasan padang.

Rugi kalau korang takde space cukup nanti takde pula kenangan video korang pernah buat sukan luncur udara untuk dimuat naik dalam media sosial atau nak tunjuk bukti pada bakal anak-anak korang nanti yang korang juga pernah berani melakukan sukan ekstrem seperti ini. Hehehe...
Kalau ditanya mengenai harga Paragliding ini, mungkin ada sesetengah orang menganggapnya mahal tetapi bagi min ia merupakan suatu kadar yang berbaloi untuk merasai pengalaman bermakna dan kenangan manis yang akan dikenang buat seumur hidup.
Gambar di bawah adalah harga dan segala maklumat yang korang perlukan sekiranya ingin mencuba aktiviti Paragliding KKB ini:

2. RIVER TUBING WAKTU MALAM
Korang mesti dah biasa buat aktiviti river tubing pada waktu siang, kan? Nak lebih mencabar adrenalin korang?

Jom rasai pula pengalaman menelusuri Sungai Selangor sepanjang 1km dengan duduk di atas tiub pelampung pada waktu malam.
Memang lain macam feel & vibes dia! Dengan air sungai yang lebih sejuk dan deras -- best sangat dapat 'healing' dibuai arus laju dan hanya mendongak melihat bintang-bintang bergemerlapan dan jika bernasib baik korang akan berpeluang enjoy cahaya bulan terang.


Sama seperti river tubing di siang hari, korang juga akan dibekalkan dengan jaket dan topi keselamatan serta pelampung.
Tetapi oleh kerana river tubing ini dilakukan pada waktu malam, sebagai tambahan korang akan diberikan juga beberapa 'colour sticks' untuk diselitkan di jaket dan topi keselamatan masing-masing. Tujuannya agar pergerakan korang lebih mudah dikesan di dalam gelap malam.

Disebabkan aktiviti 'night river tubing' ini baru sahaja ingin diperkenalkan di Kuala Kubu Bharu, Rileklah antara yang bertuah dapat menjadi peserta terawal melakukan aktiviti best yang dianjurkan oleh River Tubing Rasa Hill -- sebuah tapak perkhemahan baharu yang akan dibuka menjelang September ini.
So kalau korang nak join, boleh saja hubungi Mr Andrew yang juga pemilik Rasa Hill Lodge di talian 019-345 0411.

3. SKYTREC - FLY & DROP
Bagi korang yang menggemari aktiviti lasak dan cintakan keindahan alam, korang boleh melakukan Skytrec - Fly & Drop -- yang ditawarkan di salah sebuah tempat penginapan terkenal di Hulu Selangor iaitu Rumah Hutan Bonda Rozita Ibrahim.

Dikelilingi alam semulajadi yang menghijau -- korang akan lebih tenang dan seronok melakukan 7 halangan berbeza seperti Bicycle / Sky Ride, Multivine, Trolley, Zipline, Broken Bridge, Tree Hugging dan diakhiri dengan Fly & Drop menyusuri sungai yang ada di Rumah Hutan Bonda Rozita.
Jika korang cukup laju dan berani mungkin tak sampai setengah jam korang boleh menyelesaikan kesemua 7 halangan tersebut dengan jayanya!

Paling syok bila dah penat berpeluh, selepas settle buat Fly & Drop korang boleh terus masuk sungai dan berenang sepuasnya dengan air yang sejuk dan sangat menyegarkan badan.

B) PENGINAPAN
1. TASIK KEBUN SERENDAH
Jika bercuti ke Hulu Selangor bersama keluarga besar korang, Tasik Kebun Serendah ini merupakan lokasi penginapan yang paling sempurna untuk korang bermalam.
Tasik Kebun ini sebenarnya merupakan sebuah kawasan kebun yang luas dan dikelilingi hutan Serendah dengan pemandangan tasik yang cukup menenangkan.

Tasik Kebun menyediakan keseluruhan 20 buah bilik yang terdiri daripada 4 jenis penginapan iaitu:
- Farmhouse Villa
- Superior Deluxe Lake View
- Studio Garden Room
- Garden Pool Chalet
Setiap bilik yang ada dilengkapi dengan kemudahan seperti tv, penghawa dingin, peti ais dan lain-lain.


Jika selalunya di resort lain hanya menyediakan sebuah sahaja kolam renang, berbeza di Tasik Kebun ini mereka menawarkan 2 buah kolam renang besar untuk tetamu dan keluarga masing-masing.
Lebih menarik kebanyakan tetamu yang pernah menginap di sini mereka suka dengan suasana tenang di Tasik Kebun yang mana terdapat pelbagai jenis aktiviti boleh dilakukan di sini tanpa perlu keluar ke tempat lain.


Antara aktiviti yang boleh dilakukan di tasik, di dewan besar dan bilik permainan mereka adalah:
- Paddle boat
- Berkayak
- Memancing
- Mandi kolam
- Games room
- Karaoke
- Camping
- Berbasikal


Semua aktiviti yang disediakan adalah percuma untuk pelanggan yang datang menginap. Memang tak puas menginap sehari kerana selain dapat menikmati udara segar, banyak aktiviti yang boleh dibuat di Tasik Kebun.

Jika lapar atau dahaga juga korang tak perlu risau nak keluar jauh-jauh cari makanan kerana di Tasik Kebun juga mempunyai Tanabah Coffee House yang menyediakan pelbagai hidangan lauk kampung dan juadah menu barat mengikut selera korang.
Harga bilik bermula dari RM315 hingga RM550 termasuk sarapan untuk dua orang.


- Alamat : Tasik Kebun Serendah, Jalan Anggerik 1i, Desa Anggerik, 48200 Serendah, Selangor
- Nombor Telefon : 013-388 8359
2. FRASER VALLEY KKB

Kalau korang nak tahu sekarang ni dekat Hulu Selangor pun ada port glamping best tau! Bagi korang yang merasai pengalaman bermalam di dalam glamping ('glamour camping') atau disebut sebagai Inap Dusun oleh orang di KKB -- korang boleh cuba bercuti di Fraser Valley Kuala Kubu Bharu!
Menariknya di Fraser Valley ini korang akan merasai suasana menginap di dalam glamping dengan view tasik yang terbentang luas. Terdapat dua jenis penginapan iaitu glamping (healing meriah) & kabin (healing privasi) -- tetapi kesemuanya menghadap pemandangan tasik seluas mata memandang. Memang cukup damai dan menenangkan!


Kalau korang nak tahu juga sebenarnya Fraser Valley KKB ini seluas 100 ekar ya! Memang sangat-sangat besar untuk percutian korang, dikelilingi 360 darjah dengan dusun buah-buahan dan alam semulajadi menghijau!
Dekat sini semua glamping dan kabin mereka dibina di bawah pokok buah-buahan yang ditanam sendiri seperti rambutan, nangka, durian, cempedak, kelapa, limau, limau bali, limau nipis dan sebagainya.

Disebabkan tasik di sini mempunyai pelbagai jenis ikan bernilai tinggi mencecah keseluruhan RM1.5 juta, sememangnya port ini menjadi tumpuan kaki pancing untuk memuaskan hobi mereka.
Memang layan betul pemancing dan pengunjung kat sini dengan view sunset yang cukup menakjubkan di tepi tasik. Healing betul!!!

Nak berbasikal keliling dusun pun onz! Sesambil tu boleh cari port ootd untuk bergambar cantik. Setiap ceruk tempat ni cantik ya untuk posing bergambar.
Harga penginapan bagi glamping hari biasa adalah RM88 termasuk sarapan untuk seorang, manakala hujung minggu & cuti umum RM99 seorang termasuk sarapan. Sementara kabin pula adalah sekitar RM100++ semalam.
Malam-malam boleh bonfire dan barbeku, nak masak di ruangan dapur yang disediakan pun boleh tau. So tunggu apa lagi jom healing kat sini, tak jauh pun sejam je dari KL!

- Alamat : Fraser Valley Kuala Kubu Bharu, Lot 2440, 3545, Jln Ampang Pechah, 44200 KKB, Selangor.
- Nombor Telefon : 013-740 5114
3. RUMAH HUTAN BONDA ROZITA
Siapa yang tak kenal dengan Pengasas Jamu Ratu Malaya, Bonda Rozita Ibrahim yang juga ibu kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri?
Kalau korang nak tahu Bonda Rozita juga mempunyai sebuah penginapan yang cukup mewah dan eksklusif di Batang Kali, Hulu Selangor yang diberi nama "Rumah Hutan Bonda Rozita" atau "Bonda Valley by Bonda Rozita".

Selain bilik penginapan yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti banglo, villa, chalet, rumah kayu, rumah hutan dan rumah kaca di tepian sungai -- semuanya serba lengkap dengan kemudahan 'first class' dan lebih mewah daripada yang korang selalu dapati jika bercuti ke hotel atau resort ternama di seluruh negara! Pendek kata menginap di sini memang akan buat korang rasa seperti golongan T20 sekejap!


Mana tidaknya, sekiranya datang ke sini nanti korang jangan terkejut apabila selesai membuat pendaftaran sahaja korang akan dibawa menaiki kereta 'pickup' Triton yang telah dinaik taraf menjadi sebuah kenderaan khas yang selesa untuk dinaiki oleh tetamu yang ramai.
Malah lebih menarik kereta Triton itu juga telah diubah suai dilengkapi besi yang dihiasi dengan corak flora dan dikunci seakan pagar van bagi memastikan keselamatan tetamu terjamin.

Jom kita tengok apa lagi yang best dan eksklusif ditawarkan di Rumah Hutan Bonda Rozita ini:
- ANJUNG RATU SPA

Ini antara tarikan yang menurut pihak pengurusan Rumah Hutan Bonda Rozita paling mendapat sambutan memberangsangkan daripada tetamu dan juga pengunjung luar -- Anjung Ratu Spa yang menawarkan perkhidmatan urutan bagi lelaki dan perempuan, sauna dan spa.
Maklumlah Pengasasnya pula Bonda Rozita yang memang terkenal sebagai Ratu Jamu dan pelbagai ilmu penjagaan kesihatan dalaman dan tradisional, justeru tak hairanlah jika Anjung Ratu Spa di sini sering diserbu pengunjung dan kalau korang tak buat tempahan awal memang susah nak dapat slot urutan, spa atau sauna.
Menariknya, jika mendapatkan rawatan urutan di sini tidak kiralah untuk mengubati penyakit, menghilangkan keletihan atau menambah seri aura wajah -- tetamu akan diurut secara eksklusif dan privasi di bilik-bilik kayu tepian sungai yang cukup menenangkan jiwa.
Harga adalah berbeza mengikut jenis dan tempoh masa urutan di mana minimum adalah RM 174.90 (sejam) hingga paling mahal RM 823.10.
- WARUNG BONDA
Jika bercuti ke sini korang tak perlu risau sekiranya lapar kerana ada disediakan beberapa restoran menarik di sini dan lokasi wajib yang korang kena cuba adalah Warung Bonda ini.
Kenapa tempat ini korang kena try adalah kerana keenakan Ikan Lunak yang istimewa hanya ada di Warung Bonda!
Ikan Lunak sebenarnya adalah ikan yang dikukus dengan campuran herba ke dalam periuk khas dengan kuasa tekanan tinggi sehingga melembutkan semua tulang dan kepala ikan agar mudah dimakan.
Rasa Ikan Lunak ini seperti dipanggang, disalai dan digrill serta sangat sedap dimakan bersama air asamnya sampai tak sedar korang bertambah nasi berpinggan-pinggan.
- BONDA VALLEY

Bagi korang yang suka bergambar, korang kena jalan-jalan ke Bonda Valley di mana di sini merupakan kawasan yang disediakan dengan pelbagai port untuk bergambar Instagrammable seperti berada di Bali.
Antara yang menarik adalah buaian, sarang burung dan tempat duduk berbentuk hati untuk korang posing bergambar.
Di sini juga merupakan lokasi jika korang nak mencabar adrenalin melakukan aktiviti SkyTrec - Fly & Drop ke dalam sungai.
- ISTANA RATU

Kalau tanya tempat apa yang terpaling mewah dan wow di Rumah Hutan Bonda Rozita ini jawapannya adalah Istana Ratu!
Mana tidaknya jejakkan kaki saja dari pintu masuknya terus rasa seperti kita sedang berada di dalam Istana Raja memang persis betul dia punya aura dan kemewahan, siap ada gamelan dan pelbagai aksesori umpama Sultan dan Permaisuri tau!
Sebenarnya Istana Ratu ini merupakan dewan besar serba mewah yang ditawarkan kepada pengunjung untuk menganjurkan sebarang majlis persendirian atau perkahwinan.
- ASTAKA DINAR

Disebabkan pemilik Rumah Hutan Bonda Rozita sememangnya seorang usahawan jamu dan pelbagai produk kesihatan serta kecantikan -- mestilah rugi kalau korang balik dari bercuti ke sini tak bawa balik beberapa buah tangan atau souvenir untuk dihadiahkan kepada ibu dan keluarga tersayang!
Jika korang nak dapatkan produk-produk kesihatan dan kecantikan yang original daripada Bonda Rozita, semuanya ada dipamerkan dan dijual di Astaka Dinar.
Bukan je produk jamu dan herba, malah barangan makanan frozen seperti Ikan Lunak istimewa mereka dan aiskrim buah-buahan segar dorang pun ada dijual di situ. Paling min suka ialah aiskrim Malaysia nanas dorang memang rasa manis buah semata, sedap sangat!

- Alamat : Rumah Hutan Terapi Alam, Lot 1972, Jalan Lama Genting, 44300 Batang Kali, Selangor
- Nombor Telefon : +6013-779 0533 | +6016-771 9343
4. RASA HILL LODGE
Resort keluarga dah, glamping depan tasik ada, villa mewah pun menarik juga -- tapi kalau dah namanya Hulu Selangor yang popular dengan aktiviti ekstrem tak lengkaplah jika tiada penginapan outdoor yang berasaskan tapak perkhemahan, kan!
Jangan risau jika korang yang sememangnya berjiwa outdoor dan lebih gemar nak bermalam di dalam hutan -- ini ada satu port best baru nak dibuka bulan September depan iaitu "Rasa Hill Lodge".

Tempat perkhemahan ini mempunya 12 tapak perkhemahan yang besar serta boleh memuatkan antara 8 hingga 10 buah khemah pelbagai saiz.
Korang akan merasai pengalaman berkhemah yang sangat selesa dan selamat apabila lantai di tapak perkhemahan dibina menggunakan jubin dan juga teduh dilindungi jaring tebal.
Lebih menarik, ada juga kolam renang besar yang cantik seperti di hotel dan resort mewah untuk korang berenang dan bersantai sewaktu berkhemah nanti bersama keluarga atau kawan-kawan.

Tapi min suggest korang cuba aktiviti rare yang takde kat tempat lain iaitu "river tubing waktu malam" yang turut ditawarkan di sini. Memang healing habis wei...syiok!
Tempat ini yang diusahakan oleh Mr Andrew Goh, boleh memuatkan kapasiti sehingga 100 orang dalam satu-satu masa.
Jadi tunggu apa lagi? Jom standby planning camping kat sini dengan kengkawan korang. Boleh korang show-off antara tetamu terawal yang pernah camping di Rasa Hill Lodge!

- Alamat : Rasa Hill Lodge, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor
- Nombor Telefon : 019-345 0411 (Mr Andrew)
C) TEMPAT MAKAN
1. WORLD OF PHALAENOPSIS
Sekiranya korang berada di sekitar Hulu Selangor atau Batang Kali, min cadangkan korang singgah ke "World of Phalaenopsis".
Tempat apa tu, kenapa nama dia canggih sangat, kan? Hahaha....

Sebenarnya World of Phalaenopsis ini merupakan sebuah Taman Orkid yang sangat cantik dan penuh dengan 30 spesies orkid dari keluarga "Phalaenopsis".
Masuk ke sini akan membuatkan korang terutama pencinta bunga Orkid terus jadi rambang mata dan terpukau dengan keindahan Orkid pelbagai bentuk dan warna. Silap-silap berpasu-pasu bunga Orkid korang beli dan bawa balik nanti!

Tetapi sebelum balik, korang jangan lupa singgah ke sebuah kafe tersembunyi yang ada di tengah-tengah taman orkid berkenaan yang dipanggil Florescence by World of Phalaenopsis.
Suasana di dalam kafe ini sememangnya lain dari kafe hispter yang ada di Lembah Klang, kerana di sini walaupun dekorasi dalamannya begitu Instagrammable -- tetapi ia dipenuhi dengan hiasan bunga Orkid yang cantik-cantik belaka!
Malah, hidangan makanan di sini pun boleh tahan sedapnya ada macam-macam menu kegemaran rakyat Malaysia seperti Nasi Lemak Rendang Ayam (RM12.90), Mee Hoon Siam (12.90), Kaya Toast (RM6.90), dan juga Herbal Egg (RM2.90).


Menu yang disediakan di kafe ini memang sesuai untuk disantap sambil menikmati pemandangan kafe ini. Walaupun agak simple, setiap hidangan yang disediakan di kafe ini sangat memuaskan dan sesuai dengan semua citarasa.
Bukan itu sahaja, kafe ini juga menyediakan desserts yang Instagrammable seperti waffle dan pelbagai pilihan kek dan kopi yang menarik.

Dah kenyang perut korang pun boleh berjalan-jalan di sekitar World of Phalaenopsis dan beri makan kepada itik-itik yang berenang riang di tasik bersebelahan kafe berkenaan.

- Alamat: 1017, Jalan Batang Kali - Hulu Yam Bharu, Kampung Sungai Kamin, 44300 Batang Kali, Selangor.
- Waktu Operasi: 8.30 pagi - 5.00 petang (Setiap hari)
- Nombor Telefon: +03-6075 1133
2. TART BENGKULU
Sekiranya korang datang bercuti ke Hulu Selangor, jangan lepaskan peluang untuk merasai kuih warisan tradisional Bangkahulu atau Bengkulu yang kini semakin sukar ditemui.

Dianggap sebagai "raja kuih", ia menjadi kebanggaan masyarakat berasal dari Sumatera Barat, Indonesia yang berhijrah ke Semenanjung Malaysia yang mana kebanyakkan mereka menetap di sekitar Hulu Selangor; Gemas, Negeri Sembilan selain Melaka dan Kedah.
Kuih ini memiliki keistimewaan dari segi tekstur dan rasa yang luar biasa. Jika di Hulu Selangor, antara lokasi yang boleh korang dapatkan Kuih Tart Bengkulu adalah di Kampung Sentosa kerana masih dihasilkan secara tradisional sekaligus mengekalkan keasliannya.

Kuih ini diperbuat daripada bahan asas biasa sahaja iaitu tepung, santan, telur yang diuli - sebelum diperap selama sejam supaya kembang sekata dan dibentuk seperti karipap.
Inti kuih tat asli diperbuat daripada kelapa atau jem nenas, yang hanya dibuat khas apabila mendapat permintaan pelanggan.
Tart Bengkulu ini biasanya ditempah oleh pelanggan dalam jumlah banyak jika ada tempahan keraian, perkahwinan atau permintaan khas.

- Alamat: THE ORIGINAL KUEH (TartBengkulu Makde)
- Nombor Telefon: 016-250 3358 / 013-626 4200
3. YOGI KAFE KKB
Kalau korang bercadang untuk 'cafe hunting' di Kuala Kubu Bharu bersama keluarga atau kawan-kawan -- korang boleh menjamu selera di Yogi Kafe KKB!
Kafe mesra kanak-kanak ini memaparkan pelbagai mainan ikonik sebagai sebahagian daripada hiasan mereka dan juga untuk dijual!

Tempat yang sesuai untuk bersantai selepas seharian di pekan Hulu Selangor yang cerah, jangan lupa mencuba bingsu, smoothie dan teh susu mereka!
Datang sini korang akan terkejut dengan kepelba


