Hulu Terengganu 'bersih' laporan bersabit PRU15

15 Nov 2022 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Adli

image is not available
Mohd Adli (tiga dari kiri) bersama pegawai dan anggota selepas selesai mengundi awal di Dewan Kelah Kompleks Perumahan Polis Hulu Terengganu, di sini, pada Selasa

HULU TERENGGANU - Hulu Terengganu masih 'bersih' daripada sebarang kesalahan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepanjang tempoh berkempen setakat Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, bagi Parlimen Hulu Terengganu tidak ada kes atau kertas siasatan dibuka.

"Setakat ini tidak ada aduan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah yang berlaku sepanjang tempoh berkempen bagi Parlimen Hulu Terengganu.

"Keadaan sangat terkawal," katanya kepada pihak media selepas selesai mengundi awal di Dewan Kelah, Kompleks Perumahan Polis Hulu Terengganu, di sini, pada Selasa.

Mohd Adli berkata, beliau berharap momentum itu berterusan sehingga selesai PRU15.

**media[1984555]**

Mengulas proses pengundian awal pada Selasa, Mohd Adli berkata, sehingga jam 10.30 pagi tadi lebih 60 peratus pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Ada dua lokasi pusat mengundi awal iaitu di Dewan Kelah (Kuala Berang) dan Balai Polis Ajil melibatkan seramai 232 orang pengundi berdaftar, 130 daripadanya telah selesai membuat pengundian awal," katanya.