Hume Cement jual tanah RM39.8 juta di Pulau Pinang kepada Skygate Technology
diyana
15/02/2024 - 14:47
KUALA LUMPUR 15 Feb - Hume Cement Industries Bhd (HCIB) akan melupuskan sebidang tanah di Kawasan Perindustrian Prai, Pulau Pinang, bersama-sama bangunan dan semua perkakasan, fittings dan perkara lain di atasnya dengan pertimbangan tunai RM39.8 juta.
HCIB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikatnya, Hume Concrete Sdn Bhd (HCCT) telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Skygate Technology (KL) Sdn Bhd.
Dengan harga pembelian atas dasar ‘pembeli sanggup, penjual rela’, kumpulan itu berkata hartanah itu tidak diperlukan untuk operasi HCCT dan cadangan pelupusan berkenaan akan membolehkan HCCT merealisasikan pelaburannya dalam hartanah itu.
"Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pelupusan itu dijangka siap pada separuh kedua 2024," katanya.
HCIB berkata ia menjangkakan untuk merealisasikan anggaran keuntungan bersih daripada pelupusan kira-kira RM32 juta selepas selesai cadangan pelupusan itu.
“HCIB masih belum memutuskan penggunaan hasil [pelupusan] tersebut. Sementara menunggu keputusan, hasil akan diletakkan dengan institusi kewangan,” tambahnya.
Pada pukul 2:44 petang ini, saham HCIB susut 2 sen atau 0.7% kepada RM2.91 dengan permodalan pasaran bernilai RM1.8 bilion. - DagangNews.com



