Hun Haqeem sudah jangka peminat terkejut, ajak tonton Cela sebelum hakimi 

Entertainment
20 Aug 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hun Haqeem sudah jangka peminat terkejut, ajak tonton Cela sebelum hakimi 

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hun Haqeem, sudah menjangkakan bakal menerima pelbagai reaksi daripada netizen susulan pelancaran teaser drama terbaharunya, Cela, yang mengetengahkan subgenre romantik gelap.

Walaupun ada peminat menyuarakan rasa kurang senang terhadap beberapa babak yang dianggap ‘berani’, Hun, 28, berharap penonton tidak terburu-buru membuat penilaian sebelum menonton keseluruhan drama berkenaan.

“Secara jujurnya, saya memang sudah menjangka reaksi sebegini. Namun, apa yang boleh saya katakan tanpa memberi sebarang ‘spoiler’ ialah tontonlah dahulu.

“Berikan peluang dan anda akan faham mengapa saya memilih untuk membawakan watak ini.

“Setiap karya yang saya sertai, saya mahu ia memberi impak kepada penonton. Apabila membaca skrip Cela, saya dapat merasakan ‘kesakitan’ watak itu, iaitu perasaan cinta terlarang yang tidak direstui keluarga, sesuatu yang sebenarnya sangat dekat dengan realiti masyarakat kita,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Cela di TGV KLCC, di sini, semalam.

Menurut Hun, penonton sebelum ini sudah terbiasa melihatnya membawakan karakter lelaki dengan imej baik, namun watak Kaer dalam Cela dilihatnya sebagai satu peluang untuk menyampaikan mesej penting mengenai manipulasi tanpa terikat dengan stereotaip jantina.

“Watak Kaer memerlukan wajah budak sekolah yang nampak suci. Jika tidak, mesej mengenai betapa bahayanya seorang manipulator di luar sana tidak akan sampai.

“Kami mahu menunjukkan bahawa manipulator boleh wujud di mana-mana, tidak kira lelaki atau perempuan.

“Selalunya dalam drama, kita lihat lelaki menjadi manipulator dan ia dianggap perkara biasa. Kali ini, kami cuba menterbalikkan situasi dengan menunjukkan perempuan juga boleh melakukan perkara sama supaya penonton dapat berfikir mengenai realiti yang berlaku pada zaman sekarang,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman di set penggambaran, Hun mengakui berasa janggal ketika melakonkan adegan berani, namun bersyukur kerana digandingkan dengan pelakon profesional seperti Nabila Huda, sekali gus memastikan proses penggambaran berjalan lancar.

“Tipulah kalau saya kata tidak rasa janggal atau malu. Namun, semua orang di set sangat menghormati kerjaya masing-masing. Malah, Nabila Huda adalah pelakon yang sangat hebat.

“Kadangkala, keintiman watak itu tidak memerlukan sentuhan fizikal yang melampau. Cukup sekadar melalui renungan mata yang ‘raw’ untuk menyampaikan emosi tersebut kepada penonton,” katanya.

Enggan melatah dengan kritikan yang mungkin diterima selepas drama itu ditayangkan, Hun menyifatkan keputusannya menjayakan naskhah berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pelakon yang mahu terus berkembang dan meneroka pelbagai sisi lakonan.

“Sebagai pelakon, saya sudah bersedia dengan apa sahaja situasi selepas ini. Matlamat saya adalah memberikan yang terbaik dan menghasilkan karya yang boleh dikaitkan dengan kehidupan orang ramai.

“Cinta boleh menjadi sesuatu yang indah, tetapi ia juga boleh menjadi toksik dan mendera. Ada sesetengah orang belajar mengenai cinta melalui jalan yang sukar dan kisah seperti inilah yang perlu kita paparkan sebagai pengajaran supaya kita lebih empati,” jelasnya. -UTUSAN

The post Hun Haqeem sudah jangka peminat terkejut, ajak tonton Cela sebelum hakimi  appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved