Huruf tunggal terakhir, siri nombor plat H dibuka untuk bidaan

LocalCars
14 Sep 2026 • 9:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Huruf tunggal terakhir, siri nombor plat H dibuka untuk bidaan

KUALA LUMPUR – Siri nombor pendaftaran khas H yang merupakan siri huruf tunggal terakhir bakal dibuka untuk bidaan bersempena sambutan Hari Malaysia bermula Rabu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bidaan siri berkenaan akan dibuka selama lima hari dan berakhir pada 20 September, manakala keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September.

“Siri H ini merupakan satu sinonim kepada harmoni, keharmonian negara kita. Jadi sempena sambutan Hari Malaysia, kita menawarkan siri satu huruf tunggal yang terakhir di dalam Malaysia.

“Sebab selepas ini tidak ada lagi huruf tunggal yang akan ditawarkan oleh JPJ,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Interaksi Bersama Media di Menara 118, di sini malam tadi.

Mengulas mengenai huruf H yang sebelum ini sinonim dengan kenderaan teksi, beliau berkata, penggunaan huruf berkenaan bagi teksi perlu digabungkan dengan huruf negeri.

“Kalau ikutkan, apabila kita berbincang bersama dengan Kementerian Pengangkutan, siri H ini kalau orang lihat macam teksi,

“Tetapi kalau dilihat di dalam kaedah, untuk siri-siri teksi, dia perlulah dipasangkan bersama dengan huruf negeri.

“Contohnya kalau HA, itu adalah teksi yang didaftarkan di negeri Perak. HB, teksi yang didaftarkan di negeri Selangor sebelum ini. Tetapi tidak ada lagi mana-mana siri yang menawarkan single H,” katanya.

Beliau berkata, siri H yang ditawarkan kali ini bukan milik mana-mana pihak sebaliknya dikeluarkan kerajaan untuk dimiliki rakyat Malaysia.

“Dan kita berpandangan bahawa single H ini bukan milik mana-mana pihak di mana ini adalah milik kerajaan yang kita keluarkan untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia.

“Keputusan 21 September ini sama seperti bidaan siri yang lain. Cuma kali ini istimewa, kerana kita kita tidak akan buka siri-siri lain dalam tempoh pembidaan siri H ini,” katanya.

Orang ramai boleh membuat bidaan bagi nombor pendaftaran H1 hingga H9999 menerusi aplikasi JPJeBid bermula 16 September ini. – KOSMO! ONLINE

The post Huruf tunggal terakhir, siri nombor plat H dibuka untuk bidaan appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved