Husna Hashim kembali terima jawatan SUA MB Perlis

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 10:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Husna Hashim kembali terima jawatan SUA MB Perlis
bu Bakar (dua kiri) pada sidang akhbar pada Jumaat dan turut kelihatan Husna (kanan).

KANGAR - Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Perlis, Husna Hashim, 41, kembali menerima pelantikan sebagai Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas sebelum ini menolak tawaran jawatan berkenaan pada Jun lalu.

Pelantikan anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin itu diumumkan Abu Bakar pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan Negeri Perlis 2027 di Kompleks Seri Putra di sini pada Jumaat.

Mengulas sama ada pelantikan berkenaan menandakan Pas Pusat mula mengiktiraf pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Abu Bakar menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif.

Bagaimanapun, beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negeri serta menjaga kebajikan rakyat berbanding terus terlibat dalam polemik politik.

"Setakat ini, alhamdulillah, mula mengiktiraf. Mungkin ada beberapa perkara yang diberikan dan ada yang tidak, tetapi yang penting hari ini kita mahu bekerja.

"Kita tidak boleh berpolitik setiap hari, sebaliknya hari ini kita mahu memberi tumpuan kepada rakyat dan peningkatan ekonomi negeri. Saya juga berterima kasih kepada pihak Pas kerana menyokong usaha yang kita buat ini," katanya.

Sebelum ini, Husna pernah menolak pelantikan sebagai SUA Menteri Besar selepas pengumuman rasmi mengenai jawatan itu dibuat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada 6 Jun lalu.

Menerusi satu kenyataan video yang dimuat naik di TikTok ketika itu, beliau turut memohon maaf kepada Abu Bakar atas keputusan berkenaan.

Husna berkata, beliau amat menghargai kepercayaan dan penghormatan yang diberikan Menteri Besar menerusi tawaran jawatan itu.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dengan pengkhususan kecil Ilmu Wahyu Islam serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Husna kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved