HWC Coffee Malaysia peroleh pensijilan halal JAKIM
zulfadli
16/08/2023 - 16:01
KUALA LUMPUR 16 Ogos - HWC Coffee Malaysia menerima pengesahan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pencapaian besar yang mengesahkan komitmen jenama ini untuk memberikan pengalaman kopi luar biasa kepada semua pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee Malaysia, Zenda Ng berkata, pensijilan ini bukan sahaja membuktikan komitmen syarikat untuk mematuhi standard tertinggi dalam pengeluaran makanan dan minuman, tetapi juga mencerminkan keinginan kukuhnya untuk mewujudkan persekitaran harmoni dan perpaduan.
Beliau berkata, pihaknya memahami bahawa sebahagian besar pelanggannya mengikut panduan halal.
"Dengan memperoleh pensijilan halal, ia bertujuan untuk mewujudkan ruang inklusif apabila pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh bersama-sama menikmati hidangan yang lazat dan kopi yang luar biasa, tanpa ada kebimbangan terhadap sumber makanan dan minuman mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis penyerahan pensijilan halal HWC Coffee Malaysia dihadiri oleh pengasasnya, Hoe Kian Choon; Ketua Pegawai Operasi, Penny Chan; Pengarah Pemasaran, Edmund Lai; Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Mohamad Zamri Mohamed; Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Mohd Fakarudin dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat JAKIM, Nursyazrin Nazee Mudeen.
Pensijilan halal adalah satu proses yang ketat untuk memastikan semua produk dan bahan HWC Coffee Malaysia mematuhi panduan Islam.
Ini bermakna bahawa kopi, pastri, dan makanan lain daripada HWC Coffee Malaysia adalah selamat dan boleh dinikmati oleh umat Islam.

Sejak penubuhannya pada April 2022, HWC Coffee Malaysia berusaha keras untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai jenama rangkaian kopi istimewa pertama di negara ini.
Sejajar dengan visi itu, syarikat menjalankan misi untuk memperoleh pensijilan halal bagi memastikan setiap aspek penawaran HWC Coffee, daripada bahan sehingga kek, pastri, dan biji kopi, datang daripada pembekal yang bersijil halal.
Proses pensijilan halal ini bermula pada awal 2023, dan ia bukti komitmen teguh HWC Coffee terhadap kualiti, keaslian, dan keterangkuman.

Usaha ini selari sepenuhnya dengan nilai-nilai syarikat dan hasratnya untuk menyasarkan pelbagai spektrum pelanggan, mewujudkan persekitaran yang mana semua orang boleh menikmati penawaran mereka dengan keyakinan dan kepuasan.
Pada masa kini, HWC Coffee mempunyai 32 cawangan di seluruh negara, dengan 12 cawangan di Lembah Klang mendapat pensijilan halal.

HWC Coffee Malaysia dalam usaha untuk memperoleh pensijilan halal bagi semua cawangan. - DagangNews.com


