Hyundai Motors Kini Mengendalikan Pasaran Malaysia Secara Terus, Namun EV Tidak Ditawarkan Buat Masa Ini

TechnologyDigitalCars
2 Jul 2025 • 12:32 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda mengikuti berita automotif dengan mendalam, pastinya anda tahu adanya jenama yang dibawa ke Malaysia bukan secara terus, tetapi menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan. Jenama Hyundai yang sebelum ini diedarkan oleh Hyundai Sime Motors, kini telah dikendalikan semula secara terus oleh Hyundai dan akan dikenali sebagai Hyundai Motor Malaysia.

image is not available

Menerusi pengenalan ini Hyundai Motor Malaysia turut menyatakan komitmen mereka untuk pasaran Malaysia, dan telah berkongsi beberapa perancangan mereka. Buat masa ini perancangan terdekat mereka ialah untuk memasarkan kereta yang dipasang di kilang tempatan iaitu INOKOM Kedah bermula suku ketiga tahun 2025. Seterusnya menerusi komitmen mereka secara terus kepada pasaran, akan membolehkan mereka menawarkan kereta yang telah disesuaikan dengan keadaan jalanraya di Malaysia mengikut citarasa pengguna tempatan. Ini juga selari dengan komitment pelaburan bernilai RM 2.16 Juta di Malaysia.

image is not available

Mereka turut mengumumkan 3 kenderaan baharu yang turut menyertakan versi hibrid iaitu Staria, Tucson dan Santa Fe. Model ini sahaja yang akan ditawarkan mereka dan buat masa ini Hyundai masih dalam perancangan untuk menawarkan kenderaan elektrik di Malaysia dan mengambilkira pelbagai faktor termasuklah sokongan kerajaan seperti insentif pemilikan EV sebelum menawarkannya di Malaysia. Di rantau ASEAN, Hyundai mempunyai kilang memfokuskan EV di Indonesia serta Singapura dan ini memungkinkan kenderaan elektrik Hyundai yang popular iaitu IONIQ akan diimport dari kilang Singapura untuk dijual di Malaysia. Bagi pemilik Hyundai IONIQ sedia ada, segala jaminan yang ditawarkan menerusi Hyundai Sime Motors akan turut disambung selepas ini.