i-Great Mega Plus tawar 30 peratus manfaat kematian untuk wakaf

Business & FinancePersonal Finance
19 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: i-Great Mega Plus tawar 30 peratus manfaat kematian untuk wakaf

KUALA LUMPUR: Pelan takaful keluarga baharu, i-Great Mega Plus membolehkan peserta memperuntukkan sehingga 30 peratus daripada manfaat kematian di bawah sijil takaful untuk diwakafkan kepada institusi wakaf yang dilantik.

Ketua Pemasaran Great Eastern Takaful Berhad (GETB), Rashida Mior Ahmad Darwish berkata, kemudahan wakaf itu merupakan antara ciri utama ditawarkan pelan berkenaan selain hibah bagi merancang pengagihan manfaat kepada penerima yang dinamakan.

Katanya, peserta boleh memperuntukkan sebahagian manfaat kematian untuk tujuan wakaf, manakala sebahagian lagi disalurkan kepada penerima manfaat melalui hibah.

“Wakaf adalah kemudahan yang disediakan kepada pelanggan supaya mereka boleh memperuntukkan manfaat takaful sehingga 30 peratus dalam bentuk wakaf.

“Sebab secara umumnya, apabila kita membuat perancangan, kita mempunyai bahagian untuk penama, dari segi hibah. Jadi, apa yang kami sediakan ialah wakaf yang boleh disalurkan melalui organisasi wakaf,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran i-Great Mega Plus di Habib Landmark dekat sini Sabtu lalu.

Menurutnya, i-Great Mega Plus menyasarkan golongan berpendapatan tinggi serta pemilik perniagaan yang mahu merancang perlindungan dan kesinambungan legasi.

Bagaimanapun, katanya, fleksibiliti yang ditawarkan membolehkan golongan muda memulakan perancangan kewangan mengikut kemampuan, dengan jumlah perlindungan bermula RM300,000.

“Untuk pelanggan yang berumur 25 tahun, sebenarnya carumannya adalah sekitar RM150 hingga RM200 sebulan. Jadi, ia masih mampu dimiliki dan pelan ini juga fleksibel.

“Pelanggan boleh bermula dengan kadar itu dan menambah caruman, sekiranya mahu. Ini kerana pada akhirnya, lebihan caruman tersebut juga boleh dimasukkan ke dalam bahagian pelaburan,” katanya.

Image from: i-Great Mega Plus tawar 30 peratus manfaat kematian untuk wakaf
JASVEEN Kaur Marne (kiri) bersama Rashida Mior Ahmad Darwish memberi penjelasan tentang i-Great Mega Plus pada pelancaran skim tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, wakil lantikan Great Eastern Takaful, Jasveen Kaur Marne berkata, pelan berkenaan turut menyediakan komponen pelaburan yang membolehkan pelanggan memilih dana untuk dilaburkan mengikut keperluan masing-masing.

Katanya, pulangan daripada dana berkenaan menjadi sebahagian daripada nilai aset pelanggan dan boleh membantu membina nilai kewangan untuk jangka panjang.

“Ini semua tentang bermula lebih awal. Sebab kalau kita bermula awal, bahagian pelaburan kita juga akan meningkat dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang. Saya rasa aspek fleksibiliti itu sangat penting.

“Katakan dalam tempoh 10 tahun, anda memerlukan wang tunai, anda boleh mengeluarkan wang daripada bahagian pelaburan.

“Kalau tidak mengeluarkannya, apabila mencecah usia sekitar 50 tahun, mereka akan mempunyai nilai simpanan yang sangat menarik,” katanya.

Menurutnya, fleksibiliti itu penting dalam keadaan ekonomi semasa apabila pengguna lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan dan perbelanjaan.

“Ia bergantung kepada kemampuan dan juga objektif yang ingin dicapai. Berapa ramai yang anda mahu lindungi dan untuk siapa anda meninggalkan legasi.

“Jadi, ia mempunyai semua fleksibiliti itu untuk anda pilih jumlah yang ingin dicarum, berapa jumlah perlindungan dan bila,” katanya.

Pelan terbaharu GETB, i-Great Mega Plus menawarkan manfaat kematian akibat kemalangan sehingga 300 peratus daripada jumlah perlindungan asas selain menyediakan manfaat kesetiaan yang dikreditkan setiap lima tahun sepanjang tempoh pembayaran.

Sempena pelancaran itu, GETB turut berkolaborasi dengan Habib menerusi Kempen Emas Vaganza yang menawarkan jongkong emas 999.9 seberat 10 gram kepada pelanggan terpilih sehingga 30 September ini.

Kempen berkenaan mengetengahkan persamaan antara emas dan takaful sebagai instrumen yang boleh membantu pelanggan merancang perlindungan, membina nilai serta meninggalkan legasi untuk generasi akan datang. – UTUSAN

The post i-Great Mega Plus tawar 30 peratus manfaat kematian untuk wakaf appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved