
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) memperkukuh ekosistem inovasi pertahanan menerusi Sistem i-MIND yang menghimpun, menyelaras dan mendokumentasikan produk, projek serta pencapaian inovasi warga kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem itu membolehkan hasil inovasi dikumpulkan, dianalisis dan diuruskan secara lebih sistematik, sekali gus menyokong proses membuat keputusan secara strategik.
Menurutnya, inovasi perlu diangkat sebagai budaya kerja memandangkan usaha itu mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menghasilkan penambahbaikan dalam pelaksanaan tugas.
“Sistem i-MIND ini sendiri merupakan inovasi kerana ia mengalihkan pengurusan rekod inovasi yang bersifat berasingan kepada ekosistem pengurusan inovasi yang lebih bersepadu, berasaskan data dan menyokong proses membuat keputusan secara strategik,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, inovasi bukan sahaja membolehkan kementerian berfungsi dengan lebih cekap, pada kos lebih rendah dan dalam tempoh lebih singkat, malah membantu ATM membangunkan doktrin, ketumbukan serta kesiagaan pertahanan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa.
Menurutnya, inovasi juga penting bagi membantu negara menjangka dan mengurus ancaman dengan lebih berkesan serta strategik, terutama ketika bentuk ancaman semakin kompleks dan berubah dengan pantas.
Mohamed Khaled menambah, inovasi tidak semestinya melibatkan projek berskala besar atau memerlukan peruntukan jutaan ringgit, sebaliknya boleh dilaksanakan dalam skala kecil asalkan mampu memberikan nilai tambah termasuk menjimatkan kos, mengurangkan masa serta mengoptimumkan output dan impak.
“Hasil inovasi Mindef telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila kontinjen negara meraih empat pingat emas, dua pingat perak dan tiga anugerah khas pada Indonesia Inventors Day (IID) 2026.
“Selain itu, sebanyak 10 produk inovasi daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dikenal pasti untuk dipatenkan,” ujarnya.
Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2026 berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 November, dengan pengisian antaranya sesi Bicara Inovasi, pameran hasil ciptaan terkini dan demonstrasi produk inovasi tempatan.
Kesemua inisiatif berkenaan selari dengan Teras 5 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang memfokuskan pembudayaan inovasi serta pengukuhan kepakaran tempatan ke arah pembangunan teknologi pertahanan yang lebih berdaya saing, mampan dan berdikari. – KOSMO! ONLINE
The post i-MIND perkukuh ekosistem inovasi pertahanan appeared first on Kosmo Online.






