AMPANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pemergian bapanya itu satu kehilangan besar buat negara kerana Allahyarham banyak menyumbang bakti sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lagi.
"Segala kisah yang dikongsikan ketika beliau berkhidmat dalam kerajaan itu menjadi pedoman buat kami dan saya berharap amal jariah yang dilakukan akan terus berpanjangan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Timbalan Perdana Menteri meninggal dunia
Sementara itu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pengorbanan Allahyarham tidak akan dapat dilupakan kerana beliau banyak membantu negara ketika zaman komunis satu ketika dahulu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula ketika ditemui merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Saya pasti keluarganya amat berbangga atas jasa Allahyarham dan semoga Dr Wan Azizah serta keluarga tabah menghadapi ujian ini," katanya.
Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmud, 93, menghembuskan nafas terakhir jam 2.30 pagi tadi akibat sakit tua di kediamannya di ibu negara.
Allahyarham Dr Wan Ismail yang berasal dari Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang itu pernah menjadi pegawai kerajaan selama 30 tahun dan terakhir di Majlis Keselamatan Negara dengan tumpuan kepada pengganas komunis.

