IAM agih 2,000 pek makanan kepada penduduk kawasan berisiko banjir

9 Oct 2022 • 4:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BACHOK: Islamic Aid Malaysia (IAM) mengagihkan sebanyak 2,000 pek makanan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir termasuk komuniti nelayan terpilih di lapan negeri, kata Presidennya Zawahir Abdullah.

Lapan negeri itu adalah Kelantan, Johor, Terengganu, Kedah, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata program yang merupakan tanggungjawab zakat korporat (CZR) bersama Etiqa Takaful itu melibatkan peruntukan hampir RM300,000.

“Kita telah mengenal pasti seramai 2,000 penerima manfaat yang memerlukan untuk menerima pek makanan ini supaya dapat meringankan beban yang dialami mereka ketika musim tengkujuh.

“Pek makanan itu mengandungi barangan asas seperti beras, gula, susu, minyak masak dan lain-lain lagi serta sumbangan wang tunai bernilai RM50 untuk setiap seorang,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jejak Prihatin dan Bantuan Pukat di Tok Bali, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Pembangunan Agensi Etiqa Family Takaful Berhad Kamarudin Mat Salleh.

Zawahir berkata pihaknya akan turut memberi bantuan sebanyak 500 set pukat kepada 100 nelayan terpilih di empat negeri iaitu Johor, Kelantan, Pahang dan Kedah dengan peruntukan berjumlah RM250,000.

“Kita sedia maklum ketika musim tengkujuh para nelayan tidak boleh turun ke laut, jadi sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

“Antara barangan set pukat yang diberikan adalah seperti pelampung, biji timah, tali pukat, tong ikan dan jaket keselamatan untuk kegunaan mereka semasa turun ke laut nanti,” katanya.

Sementara itu pada program tersebut, 250 keluarga daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Tok Bali menerima sumbangan pek makanan dan wang tunai.-Bernama