Ibadah korban bukan wajib, jangan sampai bebankan diri

25 May 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Ibadah korban bukan wajib, jangan sampai bebankan diri

GOMBAK, 25 MEI: Ibadah korban sempena Aidiladha tidak sepatutnya menjadi beban atau ukuran kemampuan seseorang, sebaliknya perlu difahami sebagai amalan sunah yang menekankan keikhlasan dan penghayatan nilai pengorbanan dalam Islam.

Pensyarah Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Baihaqi Md Yusnan berkata isu kemampuan melaksanakan korban tidak wajar dipolemikkan kerana Islam hanya menggalakkan ibadah itu kepada individu yang benar-benar mampu.

“Korban ialah ibadah sunah yang sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan, tetapi Islam tidak pernah memaksa sehingga membebankan diri atau keluarga.

“Yang penting ialah keikhlasan dan kesediaan untuk berkorban kerana Allah SWT, bukan semata-mata mengikut adat atau tekanan masyarakat,” katanya ketika ditemui di UIAM, baru-baru ini.

Menurutnya, umat Islam masih boleh melaksanakan ibadah korban melalui kaedah lebih mampu milik seperti berkongsi bahagian atau memilih lokasi pelaksanaan yang lebih murah.

Beliau berkata perkara paling utama ialah memahami hikmah di sebalik ibadah tersebut agar setiap amalan dilakukan dengan niat yang betul dan penuh keikhlasan.

Dalam pada itu, Mohammad Baihaqi mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu terikat dengan pandangan orang sekeliling sehingga mengabaikan tuntutan sebenar agama dalam beribadah.