Ibarat Dosa Atas Dosa! Haram Hukumnya Dedah Aib Pasangan Di Media Sosial, Berisiko Untuk Disaman

LocalFamily & Parenting
17 Apr 2026 • 6:02 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Ibarat Dosa Atas Dosa! Haram Hukumnya Dedah Aib Pasangan Di Media Sosial, Berisiko Untuk Disaman

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak belakangan ini, ada sahaja kes curang yang didedahkan oleh segelintir individu khususnya golongan isteri di platform media sosial.

Kebanyakan video yang dikongsi melibatkan pasangan mereka sendiri bersama orang ketiga.

Kadangkala, ada rakaman yang dikongsi menunjukkan berlaku pertengkaran serta aksi yang tidak sepatutnya.

Walaupun perbuatan curang itu menyakitkan hati dan merupakan satu kesalahan namun timbul perdebatan apabila ada yang merasakan trend ‘spill the tea’ masalah rumah tangga tidak patut dilakukan secara terbuka.

Malah, ada yang tertanya-tanya adakah dibolehkan seseorang berkongsi kisah kecurangan pasangan dengan orang ketiga di media sosial?

Haram Kongsi Kisah Curang Di Media Sosial, Ibarat Dosa Atas Dosa

Niat seseorang menyebarkan video kecurangan pasangan bersama pihak ketiga di media sosial kononnya atas alasan untuk memberi pengajaran adalah haram malah mangsa juga berisiko muflis sekiranya disaman sivil.

Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban rumah tangga di khalayak ramai diibaratkan sebagai dosa atas dosa.

Dari sudut perundangan pula, emosi yang tidak dapat dikawal diibaratkan seperti memberi senjata kepada pihak lawan untuk menyerang balas.

Menurut Penceramah Bebas Kekeluargaan, Maudah Ali, Islam melarang keras perbuatan menyebar aib walaupun suami terbukti bersalah sehingga mengundang kecaman pengguna media sosial.

Boleh Rakam Tetapi Hanya Untuk Bukti Perbicaraan

Jelasnya, seseorang itu boleh merakam perbuatan atau kejadian curang memandangkan kesukaran untuk mendapat empat saksi pada masa kini.

Namun, rakaman video tersebut hanya boleh dijadikan sebagai bahan bukti perbicaraan di Mahkamah Syariah.

“Rakaman itu bukan untuk ditularkan bagi meraih tontonan di media sosial. Sesiapa yang tidak menutup aib orang lain di dunia, Allah SWT akan mendedahkan aibnya kelak di Padang Mahsyar.

“Tindakan isteri yang gagal mengawal emosi sehingga menyerang fizikal dan mengasari pihak ketiga di tempat awam juga hanya akan merugikan mangsa kembali, ibarat meludah ke langit, jatuh terkena muka sendiri,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Dedah Aib Pasangan Rosakkan Nama Sendiri Serta Anak-Anak

Perkara sama turut dijelaskan oleh laman Jabatan Mufti Perlis bahawa perbuatan mendedahkan aib seseorang adalah haram dan berdosa besar.

“Islam mewajibkan kita menutup aib peribadi diri kita dan juga orang lain. Dosa antara seseorang dengan Allah haram didedahkan kepada umum.

“Ini seperti dosa zina, minum arak dan seumpamanya. Perbuatan itu dicegah dan dibantah, tapi bukan untuk dijadikan bahan perbualan ataupun tontonan orang lain.

“Pelaku dosa peribadi diminta bertaubat, tapi bukan untuk disebarkan cerita atau gambarnya kepada orang ramai. Islam anti kepada gosip peribadi seperti itu,” kata laman berkenaan.

Malah, laman itu menjelaskan perbuatan mendedahkan aib suami kepada awam adalah satu dosa besar.

“Dia tidak boleh menghalalkan tindakan itu dengan alasan suaminya pun berbuat dosa. Satu dosa tidak menghalalkan dosa yang lain.

“Mendedahkan keaiban suami hanya merosakkan nama diri sendiri dan juga anak-anak. Demikian suami juga tidak boleh melakukan hal yang sama kepada isteri,” kata laman itu.

Netizen yang Menyokong Di Ruangan Komen Turut Berdosa Besar

Terang Maudah yang juga dikenali sebagai Ustazah Cinta, netizen yang menyokong serta menyiasat kisah lama pihak ketiga di ruangan komen juga dianggap melakukan dosa besar sesama manusia iaitu ghibah.

Sekadar info, ghibah bermaksud membicarakan aib atau keburukan orang lain berdasarkan kenyataan atau turut disebut sebagai mengumpat.

Keadaan ini menuntut si pelaku perlu memohon maaf secara individu di akhirat kelak.

Orang Ketiga Boleh Kemukakan Saman Fitnah

Bukan itu sahaja, perbuatan menularkan kes curang pasangan tanpa berfikir panjang berisiko membuatkan isteri serta warganet diheret ke mahkamah sivil oleh orang ketiga.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mastika Nasrun, pihak ketiga boleh membuat saman fitnah sekiranya hantaran tular memenuhi tiga elemen utama dalam perundangan sivil.

Tiga elemen tersebut adalah kenyataan tersebut tidak benar, identiti plaintif secara spesifik serta disebarkan kepada umum.

“Isteri mungkin bergantung kepada pembelaan kebenaran, namun mereka masih berisiko kalah di mahkamah sekiranya terdapat sedikit sahaja unsur rekaan emosi dalam hantaran tersebut.

“Jika terdapat 100 butiran didedahkan, namun dua atau tiga daripadanya didapati tidak tepat, kesalahan kecil itu sudah cukup untuk membolehkan pihak ketiga memenangi saman fitnah,” katanya.

Tindakan Aibkan Individu Dianggap Sebagai Jenayah Siber

Jelas Mastika, perbuatan mengaibkan individu di platform digital merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tindakan jenayah siber.

Malah, bagi kes sivil, netizen yang menjadi batu api juga tidak terlepas dari boleh dikenakan saman bersama-sama pemuat naik hantaran asal dalam satu tindakan mahkamah.

Terangnya, pihak ketiga berhak menuntut ganti rugi yang tinggi lebih-lebih lagi jika mereka dibuang kerja akibat hantaran tular asalakan memenangis kes saman fitnah terlebih dahulu.

“Isteri dinasihatkan mengumpul bukti secara kronologi dan selesaikan di Mahkamah Syariah kerana tindakan tular ini akhirnya hanya memalukan dan memusnahkan emosi anak-anak apabila mereka membaca ‘jejak digital’ pergaduhan ibu bapa kelak,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Mufti Pulau Pinang Perjelas Hukum Dedah Aib Pasangan Jika Niat Untuk Menjaja & Balas Dendam

Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Kongsi Hal Rumah Tangga Di Media Sosial? Ini Jawapan Pejabat Mufti WP

View Original Article