
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap orang mempunyai sesuatu yang diinginkan dalam kehidupan. Bagi sesetengah umat Islam, ada yang telah memasang niat dan bernazar untuk melakukan sesuatu sekiranya hajat yang diimpikan tercapai.
Namun, ada segelintir yang tidak dapat menunaikan nazar tersebut atas sebab tertentu meskipun hajatnya telah dimakbulkan.
Persoalannya, apakah hukum seseorang yang tidak dapat menunaikan nazar yang dibuat? Boleh atau tidak mengabaikan nazar tersebut sekiranya tidak mampu?
Berdosa Tak Tunaikan, Nazar Ibarat Kontrak Muslim Dengan Tuhan – Mufti Wilayah Persekutuan
Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menunaikan nazar adalah wajib.
Malah, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil dalam satu video di Facebook menjelaskan seseorang itu berdosa jika tidak menunaikan nazar yang telah dibuat.
Ini kerana jelasnya, nazar diibaratkan sebagai kontrak Muslim dengan Allah SWT.
“Hukum orang yang gagal menunaikan nazar, hukumnya berdosa kerana dia melanggar kontrak.
“Nazar ini ibarat kontrak kita dengan tuhan, jadi kena tunaikan nazar. Dalam al-Quran ada sebut, terdapat pujian bagi mereka yang menunaikan nazar,” katanya.
Gagal Tunaikan Nazar Perlu Buat Kaffarah, Jika Masih Tak Mampu Perlu Berpuasa Selama 3 Hari
Jelas Ahmad Fauwaz, nazar yang dibuat tidak boleh digugurkan melainkan seseorang itu bertaklid dan menyelesaikannya dengan kaffarah.
“Nazar itu tidak gugur melainkan kalau dah tak mampu juga boleh bertaklid, selesaikan dengan kaffartul yamin (sumpah).
“Jadi dia pergi sedekah kepada 10 orang fakir miskin untuk menggantikan nazarnya ketika mana dia tidak mampu melakukan dan sudah berputus asa,” jelasnya.
Memetik laman Pejabat Mufti Selangor, selain memberi sedekah kepada 10 orang miskin, seseorang yang gagal atau tidak mampu menunaikan nazar yang dibuat wajib melakukan satu daripada tiga perkara bagi menggantikan kaffarah sumpah iaitu:
- Memberi makan kepada 10 orang miskin
- Memberi pakaian kepada 10 orang miskin
- Memerdekakan seorang hamba
Namun jika seseorang itu masih belum mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas, dia perlu berpuasa selama tiga hari.
Nazar Yang Bersifat Kemaksiatan Tidak Boleh Ditunaikan
Pun begitu, laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan seseorang hanya boleh menunaikan nazar yang bersifat ketaatan kepada Allah SWT.
Namun jika nazar tersebut berkaitan dengan kemaksiatan maka ia tidak boleh ditunaikan.
“Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
“Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. Hadith riwayat al-Bukhari: (6696),” jelas laman itu lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Doakan Keburukan & Kezaliman Untuk Orang Yang Aniaya Kita? Ini Penjelasan UAI [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Jika Tak Maafkan Orang Lain? Ini Penjelasan Mufti Perlis [Video]
