Pempengaruh media sosial, Aizat Saha meluahkan rasa gembira setelah impiannya menjadi kenyataan apabila dapat terpilih untuk melakonkan salah satu watak dalam drama terbaru, #KelasTahananCikguHiragi.
Aizat atau nama sebenarnya, Mohd Aizat Saharuddin berkongsi rasa teruja tersebut apabila mendapat tawaran untuk berlakon sebaris dengan pelakon-pelakon hebat seperti Nadhir Nasar, Arena Wan, dan Riz Amin.

Bekas pramugara berusia 29 tahun yang semakin dikenali ramai ini berkata, bekerjasama dengan produksi serta berada dibawah arahan pengarah hebat seperti Michael Ang merupakan satu penghargaan buat dirinya yang masih baru dalam industri seni lakonan ini.
“Pengalaman pertama saya terima tawaran untuk berlakon dengan ramai pelakon yang hebat seperti Nadhir Nasar, Arena Wan, Riz Amin dan ramai lagi.
“Satu penghargaan buat saya untuk berlakon di dalam produksi dan dibawah arahan Michael Ang,” katanya.

Bagi menghasilkan karya terbaik, Aizat berpendapat bahawa dia perlu belajar dari bawah tentang selok belok bidang lakonan meskipun perjalanannya untuk menceburi industri hiburan ini bermula dengan media sosial.
Dalam pada itu, Aizat yang popular dengan konten ‘Boyfriend Online’ di TikTok berharap agar lakonannya dalam drama berkenaan diterima baik oleh para penonton dan peminatnya sekali gus mendoakan perjalanannya sebagai seorang anak seni.
“Walau perjalanan saya bermula dari media sosial, tapi saya tetap belajar dari bawah untuk menjadi pelakon demi menghasilkan karya yang terbaik.
“Saya berharap agar semua peminat dan warga yang menonton menerima lakonan saya dan sentiasa mendoakan perjalanan saya sebagai seorang anak seni,” ujarnya.




