IBDE sasar terjemah 15 buku antaranya Ihya ‘Ulumuddin’ oleh Imam Al Ghazali

8 Jan 2023 • 10:24 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 7 JAN: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) meneruskan projek Siri Pencerahan Selangor dengan menterjemah 15 naskhah baharu pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Farhan Affandi berkata antara buku yang akan diterjemah ke bahasa Melayu ialah karya agung Ihya ‘Ulumuddin’ oleh Imam Al Ghazali.

image is not available
Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi bercakap kepada media ketika ditemuramah di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Naskhah ini merupakan projek terbesar diterbitkan IBDE. Projek terjemahan 20 buku ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun sehingga 2026,” katanya ditemui pada majlis peluncuran Kedai Buku Rencana milik IBDE di Sri Damansara.

Farhan berkata sejak menerima sokongan Kerajaan Negeri pada 2017, IBDE semakin dikenali malah karya terbitan turut mendapat permintaan tinggi.

“Bukan hanya sokongan kewangan namun kita juga terima bantuan promosi termasuk aspek pemasaran dari Media Selangor Sdn Bhd.

“Secara tidak langsung ia membantu meningkatkan jualan. Ketika pandemik juga IBDE mampu meraih untung berganda. Dari memiliki tiga pekerja, sekarang berkembang kepada 14 orang,” katanya.

IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre antaranya agama, sejarah dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.

View Original Article