IBM ialah salah satu syarikat teknologi Amerika Syarikat yang masih lagi beroperasi di China untuk membangunkan teknologi pusat data dan sebagainya. Akan tetapi, IBM baru-baru ini telah mengumumkan kepada para pekerja mereka di negara tersebut bahawa bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan ditutup tidak lama lagi.
IBM mengesahkan bahawa bahagian R&D tersebut akan dipindahkan ke negara-negara lain, dan akan membuang sekitar 1000 pekerja mereka di negara tersebut. Perkara ini berlaku kerana perkhidmatan digital IBM kini nampaknya telah diambil-alih oleh banyak syarikat-syarikat teknologi tempatan lain yang menawarkan kemampuan yang sama pada harga yang lebih murah.
Beberapa laporan turut mengatakan bahawa perkara ini mengejutkan sejumlah besar pekerja di IBM China, kerana sebelum ini ia dikatakan bahawa perniagaan infrastruktur IT dan juga kecerdasan buatan semakin meningkat pada tahun ini.
Akan tetapi, realiti keadaan untuk IBM China dilihat agak murung apabila syarikat tersebut dilihat mencatatkan keuntungan yang semakin berkurangan setiap tahun, walaupun IBM secara keseluruhannya sedang mencatatkan keuntungan yang semakin meningkat.
Kebarangkaliannya adalah besar bahawa pemindahan daripada penggunaan perkhidmatan dan infrastruktur IT dari Amerika Syarikat semakin berkurangan, dan digantikan dengan penawaran tempatan.
Pusat-pusat R&D IBM China terletak di beberapa bandar di sekitar China seperti Beijing dan Shanghai, dan nampaknya kesemua pekerja-pekerja tersebut akan kehilangan mata pencarian mereka, tetapi IBM berkata jika mereka mahu, pekerja-pekerja ini boleh memasuki pusat R&D IBM di negara-negara lain.




