amree14/07/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Julai – Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE) menuntut RM8.3 juga ke atas bekas rakan kerjasamanya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd, dengan mendakwa ia melancarkan strategi dirancang bagi menggambarkan syarikat itu dan pengarahnya sebagai penipu sebelum kes dibicarakan di mahkamah.
Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas difailkan di mahkamah, IBSE mendakwa tindakan Steel Hawk mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia dan penyiaran laporan oleh sebuah portal berita tempatan selepas saman difailkan menunjukkan wujud usaha tersusun mencemarkan reputasi syarikat.
Menurut IBSE, penyataan tuntutan itu difailkan pada pukul 5.55 petang, 21 April 2026, sebelum pengumuman dibuat di Bursa Malaysia, manakala laporan berita diterbitkan pada 7.31 malam hari yang sama, sedangkan writ saman hanya diserahkan kepada defendan tujuh hari kemudian.
IBSE mendakwa tindakan itu membuktikan Steel Hawk secara sukarela menyebarkan dakwaan penipuan kepada umum, namun sengaja melengahkan penyampaian writ kepada defendan, sekali gus menimbulkan persepsi negatif terhadap syarikat berkenaan sebelum prosiding mahkamah bermula.
Syarikat itu turut mendakwa tindakan undang-undang serta penerbitan kenyataan tersebut mempunyai tujuan sampingan untuk menjejaskan hubungan perniagaannya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memudahkan proses pemindahan atau novasi projek kepada Steel Hawk Engineering.
Pada April lalu, Steel Hawk Engineering memfailkan saman terhadap IBSE dan para pengarahnya dengan mendakwa berlaku pecah amanah, penyelewengan dana diterima daripada TNB serta salah nyata berkaitan kerjasama bagi melaksanakan beberapa projek syarikat utiliti negara itu bernilai jutaan ringgit.
Mengikut perjanjian kerjasama, Steel Hawk Engineering bertindak sebagai penyumbang utama pembiayaan projek dengan menyediakan 60% modal kerja bagi setiap tempahan pembelian dikeluarkan oleh IBSE, selain pendahuluan RM9.2 juta secara berperingkat dan mendapatkan jaminan bank bagi pihak TNB.

Bagaimanapun, IBSE menafikan dakwaan gagal memaklumkan pembayaran yang diterima daripada TNB, sebaliknya menegaskan semua maklumat berkaitan pembayaran, tuntutan, invois dan perkembangan projek sentiasa disalurkan kepada Steel Hawk Engineering melalui e-mel dari semasa ke semasa.
IBSE menambah, pertikaian sebenar tercetus selepas syarikat itu enggan menandatangani dokumen pengesahan baki pada tahun lalu kerana mendapati ia tidak berhutang sebanyak RM14.4 juta seperti yang didakwa oleh Steel Hawk Engineering.
Jelas IBSE, rekod syarikat menunjukkan jumlah sebenar yang diterima daripada Steel Hawk Engineering setakat 31 Disember 2025 hanya RM4.7 juta, sekali gus mewujudkan perbezaan yang belum diselaraskan sebanyak RM9.6 juta, manakala pihak plaintif didakwa gagal memberikan sebarang penjelasan atau dokumen sokongan bagi mengesahkan angka tersebut.
Selain itu, IBSE turut menafikan dakwaan pembayaran RM2.76 juta oleh TNB ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad berkaitan tiga projek yang menjadi pertikaian, sebaliknya menjelaskan bayaran tersebut melibatkan kontrak dan urusan operasi lain.
Sehubungan itu, IBSE memohon mahkamah memberikan penghakiman supaya Steel Hawk Engineering membayar hutang berjumlah RM8.3 juta, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan punitif serta perintah injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut yang didakwa berunsur fitnah. - DagangNews.com



