
Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
KLANG, 23 OKT: Ibu bapa disaran sentiasa memberi tauladan baik agar sahsiah anak-anak terpuji sekali gus mampu membentuk institusi keluarga penyayang.
Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata perkara itu penting kerana setiap perbuatan ibu bapa menjadi ikutan anak-anak.
“Ibu bapa adalah orang terdekat yang akan dicontohi oleh anak-anak, jadi sudah pastinya setiap gerak-geri menjadi perhatian dan ikutan.
“Justeru, setiap apa pun yang ibu bapa buat perlu pastikan kita jadi model yang baik kerana ia akan ditiru oleh anak-anak,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad hari ini.

Berucap dalam prgram Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita Klang bersama Pekawanis di sini, beliau mengingatkan ibu bapa untuk bijak membahagikan tugas dan tanggungjawab supaya anak-anak tidak terabai.
“Perlu ada kesepakatan antara suami isteri selain saling menyokong antara satu sama lain. Tidak kira sama ada isteri itu suri rumah atau bekerjaya pembahagian tanggungjawab antara kedua-duanya amat penting untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga,” katanya.
Program bertajuk Wanita Nadi Keluarga Penyayang antara sebahagian acara yang mewarnai Jelajah Selangor Penyayang Klang di Stadium Sultan Suleiman di sini.

The post Ibu bapa disaran pamer tauladan baik, bentuk institusi keluarga penyayang appeared first on Selangorkini.


