
NEW DELHI – Sepasang suami isteri di India tergamak menjual bayi lelaki mereka berusia sebulan pada harga 120,000 rupee (RM15,096) semata-mata untuk membeli telefon pintar dan rantai emas, lapor laman berita Mothership.
Kejadian terbongkar apabila ibu bayi membuat laporan polis pada 20 September lalu, mendakwa dirinya dipukul suami.
Semasa siasatan dilakukan, polis mendapati pasangan suami isteri itu menjual bayi lelaki mereka kepada seorang perantara pada harga 120,000 rupee.
Mereka menggunakan wang yang diterima untuk membeli dua telefon bimbit berharga 25,000 rupee (RM1,062) serta rantai emas 62,000 rupee (RM2,633).
Bayi itu kemudian dijual kepada seorang wanita lain pada harga 270,000 rupee (RM11,466) sebelum diserahkan kepada seorang lelaki yang mengaku dirinya doktor, dikenali sebagai Suresh, dengan bayaran 350,000 rupee (RM14,863).
Suresh akhirnya menyerahkan bayi itu kepada saudaranya dikenali sebagai Uma pada harga sama.
Polis bergegas ke Hyderabad dan berusaha membawa bayi itu pulang ke negeri Maharashtra. Mangsa ditemukan lebih 550 kilometer dari rumahnya.
Selain merampas telefon bimbit dan rantai emas, polis turun menahan tujuh individu. – AGENSI
The post Ibu bapa jual bayi kerana kemaruk telefon, rantai emas appeared first on Kosmo Online.
