Seorang bapa, Nazmi Zulkifli, meluahkan kekecewaan selepas kes anak sulungnya, Ayden bin Nazmi, yang dipercayai didera di sebuah taska di Shah Alam tidak dikenakan sebarang tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Menurut Nazmi, kejadian berlaku pada 15 Januari 2025 apabila beliau mendapati kesan lebam besar di belakang badan Ayden ketika hendak memandikan anaknya pada malam tersebut. Ayden merupakan seorang kanak-kanak autistik yang tidak mampu bercakap dengan jelas dan hanya boleh menyebut beberapa perkataan sahaja. Apabila ditanya siapa yang mencederakannya, Ayden tidak dapat memberikan sebarang respon.
Nazmi dan isterinya segera membawa Ayden ke Klinik Utama di Seksyen 7, Shah Alam untuk mendapatkan rawatan. Doktor yang memeriksa Ayden menyatakan bahawa lebam tersebut berkemungkinan besar disebabkan oleh kesan pukulan. Mereka cuba menghubungi guru di taska namun gagal. Hanya seorang guru lain yang menjawab panggilan dan berjanji untuk menyiasat pada keesokan harinya.
Doktor pakar sahkan Ayden dipukul, bukan terjatuh
Pada pagi 16 Januari 2025, isteri Nazmi membawa Ayden berjumpa dengan lima orang doktor pakar di Hospital Shah Alam. Hasil pemeriksaan kesemua doktor pakar mengesahkan bahawa kecederaan tersebut adalah akibat dipukul dan bukannya kesan jatuh seperti yang didakwa oleh guru taska. Berikutan itu, laporan polis telah dibuat atas nasihat pihak hospital.


Bagaimanapun, setelah sebulan siasatan dijalankan, tiada seorang pun guru di taska tersebut yang mengaku bertanggungjawab atau mengetahui mengenai kecederaan Ayden. Lebih mengecewakan, tiada rakaman CCTV yang dapat digunakan sebagai bukti kerana dikatakan kamera di dalam kelas Ayden rosak dan dalam penyelenggaraan. Malah, kenyataan guru yang mendakwa Ayden terjatuh di gelongsor juga disangkal kerana rakaman CCTV menunjukkan Ayden tidak bermain di kawasan tersebut pada hari kejadian.
Kes ditutup, tiada tindakan lanjut?
Nazmi meluahkan rasa kecewa apabila dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA) dengan alasan tiada bukti CCTV dan kekurangan bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak dari taska tersebut. Walaupun terdapat laporan perubatan dari Hospital Shah Alam yang mengesahkan Ayden didera, serta laporan dari pusat terapi yang menunjukkan perubahan ketara pada tingkah laku Ayden selepas kejadian, kes ini tetap ditutup.
Nazmi mempersoalkan tahap keselamatan kanak-kanak di taska jika kes seumpama ini dilepaskan dengan mudah hanya kerana ketiadaan bukti CCTV. Beliau turut meluahkan kebimbangan tentang keselamatan kanak-kanak lain yang mungkin menghadapi situasi serupa tanpa mendapat keadilan.
“Kami hanya mahukan keadilan untuk Ayden dan semua kanak-kanak autistik yang tidak mampu bersuara. Kami berharap akan ada tindakan yang lebih adil di masa hadapan,” luahnya penuh emosi di laman Facebook.
Kisah Ayden mendapat perhatian ramai di media sosial dan mencetuskan perbincangan hangat mengenai keselamatan kanak-kanak di pusat jagaan.
The post Ibu bapa lapor polis anak autistik lebam disyaki didera di taska, tetapi kes ditutup? appeared first on The Reporter.


![Ibu Terharu 2 Pelajar Cilik Siap Pimpin Tangan Anak OKU Untuk Ke Kantin [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)
