Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) bantah keras pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas guna Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar.
Memetik laporan Harian Metro, selain SMJK, Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Cina (SMC) turut membantah pelaksanaan ini.
Ibu bapa SMJK & SMC bantah pelaksanaan satu kelas guna BM

Foto: Harian Metro
Sekolah separuh kerajaan jenis Cina mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
Selain itu, mereka turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains serta Matematik.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah dari SMJK dan SMC berkata surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada 36 pengetua Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta 52 SMJK dan SMK.
Katanya, surat itu mengumumkan salah satu arahan kementerian iaitu penguatkuasaan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan BM sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini disamping kelas itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang pelajar.
“Kami, wakil Lembaga Sekolah dan 11 PIBG sekolah di Pulau Pinang, ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap pelaksanaan paksa sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam semua SMJK dan SMC di Pulau Pinang.
“Ia menyebabkan percanggahan besar di dalam kalangan ibu bapa yang menentang keras dasar itu. Ia juga menimbulkan masalah yang tidak perlu kepada pentadbiran sekolah.
“Akibatnya, ia menimbulkan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar. Dasar ini sama sekali tidak mengendahkan kehendak ibu bapa dan bertentangan dengan hasrat asal DLP.
“Sepatutnya ia memperkukuh dan melengkapkan pelajar dengan lebih baik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan Pendidikan Teknikal dan Latihan (TVET) untuk meneruskan matlamat pelan induk industri baharu 2030,” katanya.
Tambahnya, DLP dalam bidang Sains dan Matematik bukan hanya dapat memastikan kesinambungan pelajar antara pendidikan menengah dan pengajian lanjutan di kolej dan universiti.
Malahan, DLP dalam bidang Sains dan Matematik juga mampu meningkatkan daya saing pelajar di peringkat yang lebih tinggi seperti antarabangsa.
“Sekiranya hasrat kementerian untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Melayu, maka kementerian harus lebih berusaha dalam mereka bentuk semula sukatan pelajaran Bahasa Melayu.
“Kementerian perlu mengkaji semula kaedah pengajarannya daripada menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik.
“Ini kerana ia mungkin memberi kesan buruk kepada pelajar yang sudah ‘lemah’ dalam Bahasa Melayu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Perempuan Cina Pulau Pinang, Dr Goh Huck Keen berkata mereka telah memulakan kelas berkenaan pada tahun ini.
Namun begitu, ramai ibu bapa keberatan untuk memberi kebenaran kepada anak-anak mereka untuk belajar di dalam kelas tersebut.
“Ibu bapa, yang anak mereka berada di dalam kelas, melihat ini sebagai satu bentuk hukuman paksa ke atas anak mereka dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu. Mereka juga secara berterusan membangkitkan perkara ini dengan pihak pentadbir sekolah,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Audrey Dermawan)
The post Ibu Bapa SMJK & SMC Bantah Pelaksanaan Satu Kelas Guna BM Sebagai Bahasa Pengantar appeared first on Borak Daily.


