Ibu, bayi tiga bulan maut kereta bertembung lori

10 Feb 2026 • 11:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kereta Perodua Bezz selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di KM65 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi yang mengorbankan seorang ibu dan bayi berusia tiga bulan. - Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang ibu bersama bayi berusia tiga bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Kilometer 65, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi di sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, maklumat mengenai kemalangan itu diterima kira-kira jam 7.20 malam.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino yang dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun dan sebuah kereta Perodua Bezza dipandu wanita tempatan berusia 24 tahun bersama lima penumpang.

"Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung lori.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang bayi berusia tiga bulan yang turut berada dalam kenderaan itu pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Beliau berkata, empat lagi penumpang Perodua Bezza serta pemandu lori kini sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Katanya, mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.