
IBU ini tidak menyangka anak keduanya mempunyai saiz badan yang agar besar, seberat kira-kira 5.69 kilogram (kg). Oleh kerana saiznya yang luar biasa, tubuh si kecil itu perlu disambut oleh dua orang!
Walaupun ibu berkenaan Amy Smit, 27, dari Cheddington, Buckinghamshire, England disahkan doktor perlu bersalin menerusi pembedahan Caesarean kerana saiz bayi yang besar, dia tidak pernah membayangkan permata hatinya sebesar itu.
“Kami tahu dia akan menjadi bayi yang tinggi, kerana semua imbasan menunjukkan dia agak panjang kerana saya dan bapanya (Zac) mempunyai ketinggian enam kaki. Tetapi kami langsung tidak menjangka anak kedua kami akan menjadi sebesar itu,” kata Smit kepada The Sun.

Saiz si comel Zagrys yang sepanjang 60.96 sentimeter (cm) melebihi jangkaan doktor hingga memerlukan dua orang untuk menariknya keluar semasa pembedahan.
Difahamkan, Zagrys tidak muat alat penimbang bayi baru lahir kerana mempunyai ukuran tubuh luar biasa berbanding bayi normal. Malah si kecil itu juga tidak muat pakaian bayi baru lahir yang dibeli.
“Saya terpaksa meminta Zac keluar untuk membeli pakaian enam bulan untuknya,” tambah Smit.

Sebelum Zagrys dilahirkan, pasangan itu menjangkakan saiznya mungkin sama dengan anak pertama mereka, Lola yang seberat 4.13 kg ketika dilahirkan pada September 2018.
Bagaimanapun, Smit berkata dia mempunyai simptom yang berbeza secara semasa kedua-dua kehamilannya.
Semasa kehamilan pertama, wanita itu gemar makan sepanjang hari. Namun berbeza keadaannya apabila mengandungkan Zagrys semasa pandemik.

“Ketika hamilkan Zeik (nama timangan Zagrys) saya langsung tidak berselera. Saya terfikir, bayangkan betapa besarnya dia jika saya makan banyak ketika itu,” katanya.
Ketika berusia dua bulan kemudian, Zagrys mencapai berat 6.9 kg.
“Zac mempunyai darah Afrika Selatan dan sangat meminati sukan ragb. Saiz Zeik yang besar menyebabkan Zac memanggilnya pemain ragbi kecil,” tutur Smit tentang bayinya.

Walaupun Zeik sudah cukup besar, dia masih tidak dapat merebut tahta bayi terbesar di UK yang diberikan kepada George Joseph King. King yang dilahirkan pada Februari 2013 di Gloucester Royal Infirmary, dengan berat 7 kg.
Guinness World Record merekodkan bayi paling besar semasa lahir ialah seberat 22 paun, 8 auns (10.2 kg). Bayi berkenaan dilahirkan di Aversa, Itali pada tahun 1955.
Menurut Info Sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia, wanita yang mengalami diabetes yang tidak terkawal semasa hamil berisiko melahirkan bayi melebihi 4 kg.
Sumber: The Sun, Info Sihat KKM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan
The post Ibu cerita pengalaman bersalin bayi 5.6 kilogram, terlalu besar, perlu disambut 2 orang appeared first on Sinar Plus.

