'Ibu dihina setiap kali saya minta bantuan'- Luahan anak Norish Karman undang sebak

LocalFamily & Parenting
16 Apr 2026 • 10:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ibu dihina setiap kali saya minta bantuan'- Luahan anak Norish Karman undang sebak
Tangkap layar siaran langsung Norish Karman bersama Usahawan terkenal, Datuk Sri Aliff Syukri di TikTok

DI sebalik skrin telefon, mudah untuk menilai, lebih mudah untuk menghukum. Namun, di balik setiap kecaman, ada kisah yang tidak semua orang sanggup lalui.

Itulah yang dilalui oleh Manda, anak kepada pelakon Norish Karman, yang tampil berkongsi realiti hidup mereka sekeluarga ketika ibunya diuji dengan penyakit kritikal.

Menerusi siaran langsung bersama Usahawan terkenal, Datuk Sri Aliff Syukri di TikTok, Manda dilihat tidak mampu menahan sebak saat menceritakan tekanan yang dihadapi, bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga emosi.

“Ramai yang kata, mintalah daripada ayah kamu…

"Ada juga yang menghina, siapa suruh ibu kamu jaga ramai anak?”," dedahnya.

Luahan itu ringkas, tetapi cukup menggambarkan betapa beratnya kata-kata yang terpaksa ditelan.

Lebih menyakitkan, ada yang mempertikaikan usahanya, seolah-olah dia memilih untuk tidak bekerja.

“Sangat sukar bila saya nak minta pertolongan untuk bayar bil perubatan bunda… saya cuba sedaya upaya saya. Ada yang tanya kenapa tak kerja, tapi kerja saya sekarang adalah jaga bunda.

“Kalau saya tak ada di sisi dia dan sesuatu berlaku, siapa yang nak jaga?," kongsi Manda lagi.

Di situ letaknya realiti yang ramai tak nampak, tanggungjawab menjaga insan sakit bukan sekadar fizikal, tetapi menuntut kesabaran dan pengorbanan yang bukan semua orang mampu pikul.

Hari-hari Manda kini hanya berulang antara rumah dan hospital. Dalam masa sama, dia tetap memastikan adik-beradik lain terjaga.

“Kalau bunda masuk hospital, saya ulang-alik.

Saya kena masak untuk adik-adik dan dalam masa sama jaga bunda sebab dia tak boleh ke tandas sendiri," dedahnya

Sementara itu, Aliff turut berkongsi keadaan terkini Norish yang kini semakin terbatas pergerakannya, malah perlu menggunakan kerusi roda.

Pelakon filem Sayang Salmah itu sendiri mengakui keadaannya tidak lagi seperti dulu.

“Sepanjang rawatan ini, saya selalu pening. Dah beberapa kali saya tergelincir dan jatuh,” katanya.

Di sebalik ujian itu, muncul satu lagi kisah yang menyentuh hati, pengorbanan anak lelakinya, Haqiem.

“Saya tak dapat ambil sijil persekolahan sebab masalah kewangan. Lepas habis sekolah, saya terus kerja sebagai cef.

“99 peratus gaji saya bagi pada adik-adik. Saya tak ambil satu sen pun untuk diri sendiri selama tujuh tahun," ungkapnya lagi.

Pengorbanan itu bukan kecil. Ia datang daripada rasa tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.

Dalam pada itu, Aliff menegaskan bahawa Norish bukan individu yang meminta-minta.

“Dia sendiri cakap pada saya, dia tak nak minta duit daripada rakyat Malaysia. Dia cuma nak kerja," ujar Aliff yang sering dilihat ke depan dalam membantu mereka yang memerlukan.

Atas dasar itu, Norish diberi peluang menjadi hos dalam siaran langsung, satu usaha untuk terus berdiri atas kaki sendiri, walaupun dalam keadaan serba terbatas. - SinarPlus

View Original Article