
ALOR SETAR – Kepelbagaian makanan Korea yang menawarkan perisa lebih kuat seperti keju, kimchi dan bulgogi menjadi antara faktor penarik yang mendorong golongan muda mencuba hidangan dari negara itu.
Seorang remaja, Muhammad Aqil, 15, berkata, dia mula menggemari hidangan ramen setelah terpengaruh dengan cabaran makan ramen pedas yang banyak ditularkan di media sosial.
“Mula-mula makan sebab untuk seronok sahaja, saya makan dengan kawan-kawan dan nak tengok siapa yang tahan pedas.
“Selepas itu, saya mula menggemarinya dan mencuba makanan lain pula. Rasanya sedap sebab ada perisa-perisa tertentu dan paling saya suka adalah perisa keju dan pedas,” katanya.
Tambahnya lagi, ramyeon menjadi hidangan tetapnya yang akan diambil sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
“Harganya agak mahal iaitu bermula RM5 untuk satu pek, kalau beli yang dalam bekas, harganya bertambah antara RM7 hingga RM10. Biasa saya guna duit sekolah untuk beli,” ujarnya.
Bagi Nur Azra, 11, pula, dia lebih menggemari makanan Korea berbanding nasi yang dimasak di rumah atas pelbagai faktor.
“Entah kenapa saya memang kurang selera nak makan nasi berlauk. Kalau diberi pilihan, memang saya pilih pasta atau makanan Korea dalam pek,” katanya.
Bagaimanapun kata Nur Azra, ibu bapanya tetap mengawal dan mengehadkan pengambilan makanan segera dari Korea.
“Mak dan ayah memang tak bagi makan tetapi saya akan beli juga guna duit sekolah dalam sekali seminggu. Lagipun, kakak saya sendiri turut menggemari makanan Korea,” ujarnya.
The post Ibu tak bagi, saya guna duit sekolah beli ramyeon appeared first on Kosmo Digital.
