
PETALING JAYA – Seorang ibu tidak sempat menatap apatah lagi memeluk bayi perempuan yang baru dilahirkannya sebelum menghembuskan nafas terakhir, sebaik sahaja pengsan ketika proses bersalin.
Lebih memilukan, arwah Nur Izzatul Hani Nor Izam, 31, meninggalkan seorang anak lelaki berusia empat tahun selain bayi perempuan yang baru dilahirkannya.
Adik arwah, Azrina Hani Nor Izam, 27, berkata, kakaknya sebelum itu tidak mempunyai sebarang penyakit dan kehamilannya juga dilalui dalam keadaan baik.
Katanya, Nur Izzatul Hani tiba-tiba pengsan ketika sedang meneran sebelum tidak lagi sedarkan diri sehingga meninggal dunia.
“Kakak saya pengsan ketika sedang meneran dan dia bersalin normal. Alhamdulillah, selamat melahirkan anak perempuan.
“Tetapi dia tak sempat pegang dan tengok bayinya. Arwah terus pengsan dan tak sedarkan diri hingga meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, Azrina Hani berkata, keluarga masih menunggu penjelasan lanjut berhubung punca sebenar kematian kakaknya daripada pihak hospital.
“Ada beberapa kemungkinan, punca sebenar kami masih menunggu.
“Arwah merupakan anak sulung daripada lima beradik dan membesar di Jengka, Pahang. Arwah berkahwin pada 2022 dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum atau ketika mengandung,” katanya.
Mengimbau peribadi kakaknya, dia menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik, peramah, pemurah dan disenangi ramai.
“Arwah sangat baik. Kehadiran dia di mana-mana bersama sesiapa pun pasti beri rasa selesa dan senang.
“Dia juga sangat pemurah walaupun sebenarnya dia bukan orang berada,” katanya.
Katanya, kakaknya turut dikenali sebagai seorang isteri yang baik dan sering disebut oleh suaminya.
“Arwah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila beberapa pesakit yang sedang berada di wad Hospital Sultan Idris Shah, Serdang berkongsi pengalaman mendengar amaran kod merah di Jabatan Obstetrik & Ginekologi semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu tak sempat tatap wajah bayi, meninggal ketika bersalin appeared first on Kosmo Online.





