MELAKA - Seorang ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Selasa atas pertuduhan menawarkan pakej perkhidmatan seks dengan bayaran RM400 di sebuah hotel, minggu lalu.
Tertuduh, Nasharimah Nanyan, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud pensundalan di sebuah bilik hotel di Kota Syahbandar, Klebang dalam daerah Melaka Tengah.
Perbuatan itu dilakukan sekitar jam 8.15 malam pada 14 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
**media[3525472]**
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan hasil risikan dalam Ops Noda oleh sepasukan polis yang menjalankan risikan berhubung penawaran akitiviti pensundalan menerusi aplikasi WeChat.
Serbuan di dalam bilik mendapati terdapat kewujudan aktiviti seks bersama seorang lelaki dan menemui beberapa barangan berkaitan seks antaranya kondom, pengikat kaki dan tangan, cemeti serta alat bantuan seks.
Didapati tertuduh mengaku bekerja sebagai pelacur dan menawarkan pakej dengan bayaran RM400 untuk satu sesi selama satu jam.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon dikenakan denda ringan kerana tertuduh merupakan ibu tunggal yang perlu menyara anak.
Tertuduh bekerja sebaga pekerja hotel dengan pendapatan kurang RM1,700 sebulan, sudah menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda itu.
