
KUANTAN – Seorang ibu kepada tiga anak menuntut siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa berhubung insiden bayi lelakinya yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjerut kain buaian di rumah pengasuh di Lorong Mat Kilau, di sini pada 15 April lalu.
Wanita berusia 37 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Ding berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta kemungkinan berlakunya kecuaian daripada pihak pengasuh.
“Saya tidak mahu perkara ini berulang kepada keluarga lain. Saya harap semua pihak lebih prihatin terhadap keselamatan anak kecil,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Senator Dr Fuziah Salleh di sini, petang Selasa.
Turut hadir, Pegawai Khas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Koh Yee Yen.
Mengimbas kejadian, Puan Ding berkata, dia menerima panggilan daripada pengasuh berusia lingkungan 50-an yang memaklumkan anaknya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya tidak sedarkan diri dan wajahnya kebiruan, dipercayai akibat lehernya terjerut kain buaian.
“Dia dimasukkan ke Unit Kecemasan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dirawat selama lapan hari,” katanya.
Menurutnya, pengasuh memberitahu bayi itu ditinggalkan bersendirian di tingkat atas kerana sukar tidur di katil, sementara dia menguruskan hal lain di tingkat bawah.
“Kemudian, suami pengasuh naik ke atas dan mendapati anak saya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” ujarnya.
Puan Ding yang bekerja sebagai jurujual berkata, pihak hospital mengesahkan anaknya mengalami hipoksia otak dan kini masih memerlukan rawatan serta pemantauan berterusan.
“Dia belum pulih sepenuhnya dan kini ditempatkan di wad bersebelahan ICU serta menerima ubat-ubatan termasuk antibiotik.
“Doktor maklumkan proses pemulihan memerlukan masa yang panjang termasuk terapi fizikal dan rawatan susulan berkala,” katanya.
Tambahnya, suaminya ada membuat laporan polis pada hari kejadian, namun menarik balik atas sebab tertentu, menyebabkan siasatan terhenti.
Namun, satu laporan baharu telah dibuat pada 25 April bagi membolehkan siasatan disambung semula.
“Saya harap ada keadilan buat anak saya. Saya kecewa kerana selepas laporan pertama ditarik balik, pihak pengasuh langsung tidak menunjukkan keprihatinan,” katanya.
Sementara itu, Koh Yee Yen berkata, tindakan Puan Ding tampil bersuara bukan untuk menuding jari, sebaliknya demi menuntut keadilan.
“Beliau hanya mahu pihak berwajib menyiasat. Jika terbukti ada kecuaian, biarlah tindakan setimpal diambil agar tragedi sebegini tidak berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dijaga pengasuh terbabit sejak usia tiga bulan dan hanya diambil pulang oleh ibu bapanya setiap Sabtu.
“Pada awalnya, bapa mangsa tidak mahu tindakan lanjut kerana menganggap ia kemalangan, namun isterinya tampil membuat laporan polis pada 25 April untuk menuntut siasatan serta pampasan dan kos rawatan,” katanya.
Tambahnya, polis telah merakam keterangan ibu mangsa dan melawat bayi tersebut di HTAA, termasuk mendapatkan percakapan doktor yang merawatnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.



