Ibu Zara Qairina buat laporan polis 

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 8:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Noraidah (tengah) bersama pasukan peguam yang mewakilinya membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing.

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun di media sosial yang didakwanya membuat hantaran dan komen mengandungi tuduhan fitnah, gangguan dan penghinaan terhadapnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum dengan hantaran dan komen terhadap anak guam mereka serta keluarganya berhubung kematian Zara Qairina.

"Adalah dimaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis pada 9 April 2026 terhadap pemilik-pemilik akaun tersebut.

"Tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan merupakan fitnah serius yang menjejaskan reputasi serta kesejahteraan emosi beliau serta keluarganya.

"Sebarang komen atau spekulasi yang melampaui batas adalah tidak wajar, berpotensi bersifat subjudis serta boleh mengganggu pentadbiran keadilan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kata kenyataan itu lagi, pasukan peguam memandang serius sebarang penyebaran, pengulangan atau penerbitan kenyataan fitnah tersebut. 

"Mana-mana pihak yang terus membuat atau menyebarkan tuduhan tidak berasas akan berdepan dengan tindakan undang-undang tanpa sebarang notis," katanya.

Sebelum itu, pasukan peguam turut mengingatkan bahawa prosiding inkues seterusnya dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 17 April depan di Mahkamah Khas Koroner.

Pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.